Isu Rumah Tangga Bergolak, Fizo Omar Nafi Wujud Orang Ketiga

Berita pergolakan rumah tangga pelakon Fizo Omar dan isterinya, Mawar Abdul Karim terus mendapat perhatian warganet.

Menurut pelakon lelaki itu, dia terkejut apabila mendapat tahu isterinya sudah mendapatkan khidmat peguam, baru-baru ini.

“ Jujurnya saya terkejut mendengar berita Ini. Ini bermaksud isu kami berdua sudah serius.

“ Apapun, kini saya sedang menunggu perkembangan dan tindakan lanjut daripada pihak Mawar untuk menyelesaikan isu rumah tangga kami,” ulasnya secara ringkas memetik laporan tersebut.

Sementara itu, Fizo menafikan wujud orang ketiga dalam perkahwinan yang dibina sejak November 2013 itu.

“Saya tidak salahkan Mawar atau akan mengaibkan sesiapa atas ujian yang menimpa. Ini adalah ujian Allah untuk menguji keimanan saya.

“Moga Allah kurniakan penyelesaian terbaik buat kami. Seandainya perpisahan adalah jalan terbaik, saya reda,” katanya.

Terdahulu, kemelut rumah tangga pasangan selebriti itu mula dihidu warganet setelah mendapati kedua-duanya menyambut Aidilfitri secara berasingan.

Fizo dilihat pulang beraya berseorangan di kampung halamannya di Kelantan, manakala Mawar bersama anaknya meraikan Syawal di Pulau Pinang.- Harian Metro.

SGMS Enal