Isu Festival Hooray X Fest, Boy Iman Nafi Bawa Lari Duit Mangsa – “Saya Teraniaya Ni…”

Pelakon dan ahli perniagaan, Boy Iman dan tiga individu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan menipu berhubung penganjuran festival beli-belah Hooray X Fest Raya minggu lalu.

Memetik laporan Harian Metro, Boy Iman atau nama sebenar Noruliman A Rahman, 43, Norazah Sahud, 51, Norzana Rapie, 51, dan Nor Azmi Jantan, 49, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut.

Pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abdul Halim.

Menurut pertuduhan, mereka didakwa menipu Siti Wardina Basir, 21, dengan memperdayakan urusan jualan dan sewa tapak perniagaan berjumlah RM1,500 sempena festival tersebut.

Kesalahan itu dilakukan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada 19 April lalu pada jam 2.34 pagi.

Sementara itu, Boy Iman sempat memberitahu bahawa dirinya dianiaya ketika diiringi anggota polis ke mahkamah.

“Doakan saya ya..teraniaya ni,” ujarnya kepada Kosmo.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun dan sebat serta denda, jika disabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Aisyah Mohamed Zanyuin yang mengendalikan kes menawarkan jaminan RM5,000 bagi setiap tertuduh.

Namun, keempat-empat tertuduh yang diwakili peguam Mohamad Syakir Mohamad Fauzi dan Earnest Azad memohon ikat jamin paling rendah kerana masing-masing mempunyai tanggungan.

Mahkamah kemudian membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM3,000 setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 13 Jun depan.

Sementara itu, seorang lagi tertuduh berusia 23 tahun yang merupakan pengarah syarikat tidak dituduh bersama kerana dimasukkan ke hospital namun akan didakwa sebaik keluar hospital.

Foto kredit: Astro Awani & Harian Metro

Maya Basir