“Jangan Jadi Dungu” – Stoking Kalimah Allah, Haris Ismail Kesal Ada Pihak Minta Jangan Jadikan Isu

Pendakwah dan selebriti, Haris Ismail meluahkan rasa kesal mengenai isu penjualan sarung kaki atau stoking yang tertera kalimah Allah yang tular baru-baru ini.

Menerusi perkongsian di Instagram (IG), Haris atau lebih mesra dengan panggilan PU Riz itu mempersoal tindakan sesetengah pihak yang enggan perkara tersebut tidak terus dijadikan isu.

“Sekadar terfikir, macam mana eh boleh duk cakap lagi jangan jadikan isu bila nama Allah ni ada di stoking.

“Tak nak jadi isu macam mana ni perkara nombor satu. Abu Ubaidah berperang dengan ayahnya disebabkan nama Allah. Nabi Muhammad bersabda, Islam ini tertinggi dan tiada yang lebih tinggi.

“Minta maaf ya tulis, sila jangan jadi dungu ya pada hal-hal macam ini. Ini bukan cerita politik untuk kedudukan.

“Tetapi ini hal Aqidah dan kepercayaan seseorang. Kau ingat senang bila dah main sentimen kita umat Islam yang terpenting ini?,” tulisnya di Instagram.

Terdahulu, kecoh satu negara apabila sebuah rangkaian kedai serbaneka KK Mart di Bandar Sunway dikesan menjual stoking tertera kalimah Allah.

Biarpun Pengasas KK Super Mart, KK Chai, mengemukakan permohonan maaf dan kesal dengan insiden itu Sabtu lalu, isu berkenaan masih hangat diperdebatkan.

Ketua Polis Negara turut menegaskan tiada kompromi terhadap mana-mana pihak jika menyentuh sensitiviti berkaitan 3R yang merujuk agama, kaum dan institusi raja.

Kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci atau niat jahat atau memudaratkan perpaduan.

Khairil Khusyairi