Isu Pakai Rantai & Tunjuk Dada, PU Syed Beri Teguran Pada Naufal Azrin – “Halal Dan Haram Jangan…”

Pendakwah bebas, Syed Mohd Bakri Syed Ishak atau dikenali sebagai PU Syed tampil memberi teguran terhadap penampilan terbaru penyanyi Naufal Azrin di dalam sebuah program nyanyian.

Menerusi perkongsiannya di Instagram, dia berpesan agar Naufal tidak perlu menjadi orang lain untuk cemerlang dalam bidang nyanyian sehingga dipandang serong oleh masyarakat.

“Ingatan bersama buat adik, Naufal Azrin penyanyi Casablanca yang kini menjadi peserta Big Stage 5, tidak perlu menjadi orang lain untuk dilihat cemerlang dalam bidang nyanyian.

“Halal dan haram jangan dicampur yang akhirnya menyebabkan kita dipandang serong oleh masyarakat,” katanya.

Menurutnya, penyanyi yang mempunyai latar belakang pendidikan di sekolah tahfiz itu sepatutnya menunjukkan contoh yang baik terutama dari sudut penampilan.

“Saudara berjaya membawa nasyid dengan anugerah suara yang merdu itu, serta mempunyai ramai peminat.

“Bawalah peminat saudara ke syurga bukan ke arah selain darinya dari sudut penampilan dan sebagainya. Bantulah agamamu ini. Bantulah ummat Nabimu Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

“Hijrah itu dari buruk kepada baik dan bukanlah sebaliknya,” ujarnya.

Terdahulu, Naufal tampil dengan menggayakan pakaian yang mendedahkan dadanya dan memakai rantai bagi menyertai sebuah program nyanyian.

ARTIKEL BERKAITAN: Penampilan Baharu Naufal Azrin Pakai Rantai, Sarung Baju Terdedah Nampak Dada Buat Netizen Tak Senang Duduk

Maya Basir