“Isu Putus Cinta, Biarlah Saya Sendiri Yang Tahu”- Syazuwan Hassan Akui Lebih Bersikap Peribadi Terhadap Isu Kontroversi

Pelakon Syazuwan Hassan sebelum ini pernah terpalit dengan isu kontroversi melibatkan hubungan cintanya bersama bekas kekasihnya yang dikenali sebagai Adora.

Difahamkan, hubungan yang terjalin selama 11 tahun itu akhirnya terputus apabila Syazuwan didakwa menjalinkan hubungan bersama pelakon yang popular menerusi drama rantaian popular di TV3, 7 Hari Mencintaiku 2, Wafariena Roslan.

Bagaimanapun, lebih bersikap matang dalam menjalani kehidupan sebagai seorang artis, Syazuwan akui kini dia lebih selesa untuk tidak mencanang atau terlalu terbuka mengenai kisah peribadinya.

“Bila diri terpalit dengan isu-isu kontroversi ni, saya lebih memilih untuk tidak berkongsi dan saya sudah mempraktikkannya begitu lama.

“Biarlah saya sendiri yang tahu daripada berkongsi kepada umum. Itu pendirian saya,” katanya kepada Xtra.

 

Syazuwan ditemui ketika tayangan perdana filem The Disappearance Of Irdina Adhwa yang berlangsung di GSC Tropicana Garden Mall, Petaling Jaya pada Rabu.

Teruja dengan watak antagonis yang dibawakan menerusi filem pertamanya ini, Syazuwan akui watak ini amat berat namun berpuas hati dengan apa yang diberikannya menerusi filem ini.

“Siapa yang tengok filem ini dia tau lah watak ini amat berat. Tapi dari pihak saya, jujur saya amat berpuas hati dan sudah berikan yang terbaik,” jelasnya.

Selain Syazuwan, filem ini turut dibintangi oleh Alicia Amin, Josiah Hogan, Bulan Terry, Nafiz Muaz, Melanie Tan, Nelissa Nizam, Hasmira Azmi dan Abbas Mahmoud dan akan mula ditayangkan pada 24 Februari 2022.

Salma Syahbuddin