Isu Utamakan ‘Rupa Paras’ Berbanding Bakat, Erma Fatima Pula Beri Respons Kenyataan A Aida

Pelakon dan pengarah terkenal, Erma Fatima memuat naik sebuah hantaran di akaun Instagram sebagai respons kepada kenyataan yang dibuat oleh penerbit Datuk A. Aida mengenai pemilihan pelakon berdasarkan rupa paras.

Erma menyatakan yang A Aida terlalu jujur menyuarakan tentang kehendak stesen televisyen dan penonton mengenai pelakon baharu yang mana lebih mengutamakan rupa paras berbanding bakat.

“Kau @a_aidaproduction jujur sangat menyuarakan kehendak station dan penonton,” tulisnya.

Erma memuat naik foto tangkap layar A. Aida bersama seorang figura stesen televisyen.

Dalam pada itu, di kapsyen yang sama, Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad Ali, 54, seakan menyindir sebuah stesen televisyen dengan mendakwa artis pilihan mereka juga mementingkan paras rupa berbanding bakat.

“Kelakarlah you ini… cakap kena serupa bikin… Cer check ARTIS PILIHAN station you.

“Cek dah lama atas meja tu akauntan cakap. Makan tahun nak sign cek ke?” tulis Erma.

Terdahulu, kenyataan hangat A. Aida mendapat perhatian ramai terutamanya dalam kalangan pelakon kerana menyatakan yang dia lebih mementingkan rupa paras berbanding bakat untuk menerajui drama terbitannya.

Atiqah Johari