Jamal Abdillah Teringin Lihat Anak Kedua Jadi Mufti

Penyanyi Dato Jamal Abdillah mengakui mahu melihat anak keduanya, Ahmad Zaki Yamani bergelar Mufti suatu hari nanti.

Namun begitu, beliau tidak mahu terlalu memaksa jika putera keduanya itu tidak mahu mengikut kehendaknya.

“ Jujurnya saya memasang impian mahu lihat anak kedua saya terlibat dalam dunia hal ehwal agama kerana bapa saya juga dulu melakukan perkara yang sama.

“ Dia juga dihantar ke sekolah antarabangsa Islamik bagi mendalami ilmu agama lebih baik. Namun begitu, saya tidak mahu terlalu memaksa anak untuk ikut acuan kita, kalau dia tak minat kita tak boleh paksa,” katanya ditemui di sidang media pengumuman Konsert 3 Suara di Kelab Bukit Kiara Equastrian, semalam.

Dalam pada itu, putera sulung Jamal, Osama Yamani bakal tampil di pentas konsert 3 Suara bersama-sama dengan sepupunya.

“ Umum tahu Osama memang ke arah muzik. Sejak darjah tiga, dia memang cenderung memainkan alat-alat muzik. Ini salah satu cara saya menyokong minatnya dalam bidang muzik.

“ Selain penyanyi Ameng dan Zamani, saya juga bakal bawa Osama dan anak-anak saudara bagi memeriahkan konsert 3 Suara nanti,” katanya.

Osama Yamani merupakan anak daripada perkahwinan kedua dengan Noraina Mohd Yusof, manakala Ahmad Zaki Yamani merupakan anak menerusi perkahwinan ketiga dengan Fatimatuhzahrah Samad.

Beliau berkahwin buat kali keempat dengan Zai Izzati Khairudin di Ipoh, Perak pada 1 April 2017.

SGMS Faida