“Jangan Hina Kami” – Aishah Bidas Kenyataan Sherry Alhadad Mengenai Potong Usus, Perjelas Keputusan Buat Bariatrik

Penyanyi Datuk Aishah meluahkan rasa kecewa dengan kenyataan pengacara Sherry Alhadad yang mendakwa proses pembedahan bariatrik adalah satu jalan yang mudah untuk kurus.

Menerusi hantaran video di Instagram, Aishah tampil membidas kenyataan Sherry dan menjelaskan tujuan dan keputusan pesakit untuk melakukan pembedahan bariatrik.

“Sebagai satu reaksi kepada sebuah video yang saya tengok, Sherry Alhadad, yang telah kurus dengan gunakan produk kurus. Alhamdulillah. Saya tak rasa perkara itu tak baik kerana ia boleh jadikan awak lebih sihat.

“Tapi tak sedap sikit bila awak pertikai pembedahan bariatrik, awak kata potong usus, tidak.

“Sebagai pesakit bariatrik, satu fakta yang awak sebut sangat menyakitkan buat semua adalah apabila awak kata itu jalan mudah. Bila buat pembedahan ini, kadang-kadang ia jalan untuk kami.

“Jangan pukul rata, ini bukanlah pembedahan kosmetik, ini adalah untuk tujuan perubatan. Ada kriteria tersendiri. Memang awak tengok ramai artis buat pembedahan, mereka juga ada masalah kesihatan yang boleh membuatkan mereka jalani bariatrik.

“Ingat buat pembedahan bariatrik ini saja-saja kah? Bukan. Awak perlu ada kriteria, mesti ada dalam kategori mobit obesiti dan ada sebab yang membuatkan awak boleh menjalani bariatrik.

“Tolonglah, jangan sebarkan fitnah mengenai ia adalah jalan mudah. Saya dah laluinya sudah 5 tahun. Tolonglah, kalau nak jual produk, jual lah tapi jangan perlekehkan keputusan orang lain untuk mencari prosedur lain.

“Sekurang-kurangnya bariatrik telah lama dilakukan dan orang tahu ada penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang tahu kesan jangka masa panjang.

“Hormati perasaan orang lain, jika bariatrik bukan jalan yang awak mahukan, jangan hina orang yang buat keputusan. Jangan sebarkan penipuan tentang bariatrik,” tegas Aishah.

Dalam satu video berlainan, pelantun lagu Janji Manis Mu itu turut berkongsi perjalanan sepanjang menjalani proses bariatrik.

“Saya selalu berlawan dengan berat badan saya. Banyak perkara yang saya dah lakukan, segala benda dah cuba, apa produk yang saya dah cuba.

“Saya pernah bersenam atas Treadmill, 5km sehari. Dalam sebulan saya tak hilang berat badan saya. Saya rasa macam putus asa ketika itu tapi selepas itu lutut saya mula sakit.

“Sakit bila berjalan, gula dalam darah dan kolestrol juga tinggi jadi itulah sebab saya membuat keputusan untuk lakukan bariatrik.

“Saya takut, dalam keadaan baik saya buat pembedahan tetapi kerana saya fikirkan saya tak mahu sakit, tak mahu susahkan anak-anak, kalau ada ikhtiar, saya perlu cuba.

“Kepada yang tak tahu latar belakang pesakit bariatrik ini, bukan hanya mahu cantik tetapi bila kita kurus kita dapat beli baju. Perlu faham benda ini perlu melibatkan kesihatan dan nyawa,” jelas Aishah.

Terdahulu, Sherry ada memuat naik sebuah rakaman video yang memaparkan dirinya sedang mempromosikan sebuah produk kesihatan dengan mendakwa proses pembedahan bariatrik adalah satu jalan yang mudah untuk kurus.

Khairil Khusyairi