“Jika Nikah Di Sini Banyak Benda Kena Selesaikan” – Fuad Rahman & Tom Selamat Berkahwin Di Indonesia

Penyanyi Fuad Rahman dan Tom selamat bernikah di Batam, Indonesia, hari ini.

Memetik laporan BH Online yang menghubungi pengurus Tom, Alan, pasangan itu memilih untuk bernikah di sana atas alasan tersendiri.

“Ya betul. Kalau ikutkan meraka bernikah pada 5 Mac depan tapi dipercepatkan. Tapi mereka bernikah bukan di sini tapi di Batam. Kalau nikah di sini banyak benda kena selesaikan. Ia membabitkan bekas isteri Fuad.

“Tidak hanya Fuad tapi Tom ada perkara yang tak diselesaikan dengan bekas suaminya dulu, jadi sebab itu mereka nikah di Batam. Mereka akan daftar perkahwinan apabila pulang ke sini nanti,” kata Alan.

Sebelum ini, Tom atau nama sebenarnya Raja Farah Raja Afzal Raja Ikram telah berkongsi fotonya memakai inai di jari dan memegang cincin menerusi Instagram Story (Igs).

Menurut Tom, mereka bakal melangsungkan persandingan selepas Hari Raya nanti.

“Berdebar. Nikah hanya ada keluarga dulu. Nanti lepas raya sanding saya jemput. Semoga urusan kami dipermudahkan hari ini,” katanya.

Untuk makluman, pasangan mempelai itu pernah menjalinkan hubungan cinta pada tahun 2005, namun berakhir pada 2010 kerana Fuad ditahan pihak polis Singapura dan dijatuhkan hukuman penjara akibat penyalahgunaan dadah.

Namun, hubungan itu kembali bertaut selepas melibatkan diri dalam sebuah program realiti di stesen televisyen berbayar, tahun lalu.

 

Sumber: BH online

Fatin Nurain