“Kadang Saya Penat Buat Lawak, Tapi Suami Pula Dapat Nama” – Ain Edruce

Pengacara dan pelakon, Nurulain Edruce atau lebih dikenali sebagai Ain Edruce sering mencuri perhatian ramai dengan gelagat ‘gila-gilanya’.

Namun, rata-rata lebih tertumpu kepada suaminya, Amirul Hafiz yang kerap membuat ramai rakyat Malaysia terhibur melihat TikTok mereka bersama.

Memetik laporan Gempak, Ain mendedahkan perangai sebenar suaminya yang bersikap kelakar namun agak malu apabila berhadapan dengan kamera.

Tambahnya lagi, Amirul sering mendapat nama sedangkan dia yang penat membuat lawak.

“Sebenarnya lawak suami saya tak semua boleh terima tau, ada setengah dia tak rasa lawak tapi kenapa majoriti rakyat Malaysia rasa dia tu lawak betul.

“Kadang-kadang saya yang penat buat lawak, tapi dia yang dapat nama, sedih betul geram pun ada,” katanya.

Dalam pada itu, pelakon drama Camelia itu turut berkata suaminya kini lebih berani untuk bergurau dengannya di hadapan umum walaupun lawaknya itu kadang-kadang kedengaran seperti memerli.

“Sekarang dia lebih berani untuk bergurau dengan saya depan khalayak ramai, mungkin sebab dah selesa dan berani sikit walaupun kadang-kadang lawak dia itu macam memerli saya,” katanya.

Untuk info, Ain dan Amirul sah bergelar suami isteri pada Disember 2019 dan hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Soraya pada Mei 2021.

 

Sumber: Gempak

Dharnieya Nur Amelsa