“Kami Berbeza Dari Segi Style..” – Tak Gentar Dibandingkan Dengan Dolla, Girl Group ‘Stellar’ Lancar Single Sulung ‘Where You Wanna Go’

Industri hiburan Malaysia kini dimeriahkan lagi dengan kemunculan ‘girl group’ baharu dikenali sebagai Stellar. 

Menyedari banyak kumpulan wanita wujud di Malaysia, Stellar bagaimanapun teguh dengan prinsip mereka yang menganggap persaingan sebagai satu cabaran yang positif untuk terus dikenali. 

“Saya rasa yang membezakan kami adalah style ataupun genre. Macam Dolla mereka seperti Blackpink sikit, manakala The Gadys lebih kepada dangdut. 

“Kami nak bersaing dengan cara positif. Masing-masing berbeza dan ada identiti sendiri. Kalau mereka boleh, kenapa kami tak boleh. 

“Insya-Allah kami yakin kami boleh pergi jauh disamping memeriahkan industri seni. 

“Stellar boleh dikatakan merangkumi semua genre, ada tradisional, mostly kami pop. Tapi akan experiment dengan genre lain juga,” kata Farisa.

 

Baru bernaung di bawah Sony Entertainment Malaysia selama setahun, Stellar akhirnya melancarkan single pertama mereka berjudul ‘Where You Wanna Go’. 

Stellar yang dianggotai oleh empat ahli kumpulan iaitu Farisa, Hany, Hasya dan Sheena mengharapkan lagu pertama mereka dapat diterima ramai sekaligus menyuntik inspirasi. 

“Single kami berkonsepkan memberi semangat kepada semua wanita di luar sana yang kadang kala tidak ada keyakinan diri. 

“Lagu ini diharap dapat memberi peringatan kepada mereka untuk terus majukan diri dan tidak fikir mengenai pendapat orang lain,” kata Hasya. 

Single ‘Where You Wanna Go’ boleh distrim di semua digital platform dan video muzik rasmi baru sahaja dilancarkan semalam di YouTube Stellar Official VEVO. 

Aqilah Paharuzi