“Kami Bukan Nak Berahsia…” – Kahwin Senyap-Senyap Dengan Tom Di Batam Indonesia, Ini Penjelasan Fuad Rahman

Penyanyi Fuad Rahman tampil memberi penjelasan tentang tindakannya memilih untuk bernikah di Batam, Indonesia bersama isteri yang juga penyanyi, Tom.

Memetik laporan Gempak, beberapa proses pengurusan surat yang memakan waktu yang lama menyebabkan Fuad berbuat demikian memandangkan dia adalah warganegara Singapura.

“Kami bukan cuba untuk berahsia, ini kerana saya orang Singapura dan untuk berkahwin di Malaysia ada beberapa proses surat menyurat yang perlu dilakukan dan mengambil masa.

“Jadi untuk menghalalkan Tom dan jadikan dia isteri yang sah, kami memilih untuk menikah di Batam. InsyaAllah nanti saya juga akan mendaftar perkahwinan kami di Malaysia,” katanya.

Pada masa sama, dia memberitahu yang paling penting adalah kedua-dua pihak mereka telah memaklumkan pernikahan mereka dan sudah direstui.

“Kalau nak tunggu proses surat menyurat daripada pihak saya memang akan mengambil masa yang agak lama juga.

“Apa pun yang penting adalah kedua-dua keluarga juga sudah merestui, tiada rahsia pun yang kami sembunyikan daripada pihak keluarga.

“Alhamdulillah semua menerima baik, menyokong untuk kami bernikah. Bersyukur segala urusan dipermudahkan,” ujarnya.

Untuk rekod, Fuad dan Tom memaklumkan sudah sah bergelar suami isteri pada 26 Februari lalu dan menikah di Batam, Indonesia.

Maya Basir