Kembalikan Tradisi, Wings Adakan Showcase Semarakkan Malam Cinta Ramadan Buat Peminat – “Orang Tak Datang Akan Tahu Hentam Saja”

Kumpulan rock legenda Wings kembali mengulangi tradisi seperti yang dilakukan setiap kali tiba bulan Ramadan dengan mengadakan showcase bersama peminat.

Wings yang dianggotai Datuk Awie, Syam (gitar), Edrie (bass) dan Black (dram) bakal tampil dengan Showcase Semarakkan Malam Cinta Ramadan di Berjaya Times Square Hotel, Kuala Lumpur pada 8 April ini.

Kata Awie, program yang berbentuk positif dan ini saban tahun mendapat sambutan yang menggalakan daripada peminat setia mereka.

“Mereka ternyata tertarik dan suka dengan konsep yang ditampilkan kami menerusi showcase ini kerana ada pengisian tersendiri. Malah, ada yang pernah menyaksikan persembahan tahun-tahun sebelumnya, setia menanti persembahan untuk tahun ini pula manakala showcase ini sebagai ‘pemanas enjin’ untuk 2023,” katanya.

Ditanya mengenai kebarangkalian untuk dikritik kerana melakukan showcase pada bulan Ramadan, Awie meminta orang ramai untuk tidak cepat menghentam sebaliknya datang ke showcase tersebut.

“Orang akan pertikai, kau gila Ramadan… sebab itu kita buat sebelum berbuka kita ada baca Al-Quran, selepas berbuka solat Maghrib ada tazkirah sementara tunggu solat Isyak kemudian tarawih dan selepas itu baru kita buat persembahan. Kita fikir benda itu semua. Cuma kadang-kadang orang yang tak datang, dia akan hentam. Kau datanglah dulu baru tahu, ini bahayanya media sosial,” jelas Datuk Awie.

Malah, menerusi showcase tersebut, Wings memaklumkan bakal mendendangkan lagu-lagu berkonsep dakwah dan islamik.

“Kami akan lebihkan lagu-lagu perjuangan, islamik, cintakan keluarga dan alam. Kami akan bawakan lagu-lagu nasyid lama dan baharu seperti daripada kumpulan Al-Jawahir, Sanisah Huri dan Maher Zain,” kongsinya

Selain lagu bergenre ketuhanan dan kerohanian, Wings mengambil peluang dengan membawakan lagu raya dan beberapa lagu hits Wings sebagai bonus.

Oleh itu, tiket untuk Showcase Semarakkan Malam Cinta Ramadan anjuran HS Event & Ent Sdn Bhd dibahagikan kepada beberapa kategori seperti Table VVIP (RM 15,000) untuk satu meja memuatkan 10 orang, Table VIP (RM12,000), Table Platinum (RM8,000), Table Gold (RM6000) dan Table Silver (RM4,000).

Atiqah Johari