Karier Hampir Musnah, Rebel Wilson Dedah Pernah Terima Gangguan Seksual Dengan Pelakon Lelaki – “Dia Tarik Seluar..”

Pelakon terkenal antarabangsa, Rebel Wilson mendedahkan mengenai pengalaman pahitnya sepanjang bergelar pelakon di mana dia menjadi mangsa gangguan seksual.

Wilson, selebriti kelahiran Australia menceritakan pelakon lelaki yang tidak disebutkan namanya menggangunya secara seksual dan turut cuba ‘memusnahkan’ kariernya.

Pelakon terkenal filem luar negara, Pitch Perfect itu mendedahkan berita tragis berkenaan dalam majalah hiburan People yang diterbitkan pada Khamis (19 Mei).

“Selebriti yang juga aktor lelaki yang dalam filem sama memanggil saya masuk ke dalam bilik dan menarik seluarnya”.

“Dia kemudian meminta melakukan perbuatan ‘lucah’ di hadapan rakan-rakannya,” jelas Wilson.

Dalam pada itu, Wilson turut menegaskan peristiwa hitam yang melanda dirinya berlaku sebelum kempen pergerakan #MeToo.

“Ia amat mengerikan dan menjijikkan. Dan semua tingkah laku selepas itu – ini semua sebelum #MeToo – di mana mereka cuba untuk memusnahkan saya dan kerjaya saya.

“Jika ia berlaku selepas #MeToo, maka saya boleh saja mengecam mereka,” kata Wilson.

Sekadar info, pergerakan #MeToo ialah gerakan sosial menentang penderaan seksual, gangguan seksual dan budaya rogol, di mana orang ramai menghebahkan pengalaman mereka tentang penderaan seksual atau gangguan seksual.

Wilson yang memiliki ijazah undang-undang dari Universiti New South Wales berkata dia telah menggunakan latihan undang-undangnya untuk mendokumentasikan pengalamannya.

“Saya menelefon wakil saya. Saya mendapat perkara tertentu secara bertulis tentang apa yang berlaku.” Katanya.

Bagaimanapun, Wilson akui untuk mendedahkan kepada agensinya mengenai peristiwa pahit dalam kehidupannya adalah tidak mudah.

Malah, kejadian tersebut turut membuatkan dirinya  trauma, namun dia tetap memberikan prestasi yang baik dan menghadap aktor tersebut dengan penuh profesional.

”Kenapa saya kekal dalam situasi itu … dengan lelaki yang mengerikan itu? Saya sepatutnya pergi. Ia tidak berbaloi.

“Tetapi pada masa yang sama, saya seperti, ‘Oh, lakukan perkara yang betul, jadilah seorang profesional dan habiskan filem itu.’

Trauma yang dihadapi Wilson sememangnya memberi pengajaran setimpal kepada pelakon hebat ini. Malah, Wilson menegaskan dia tidak akan menerima sebulatnya jika perkara seperti itu jadi lagi.

“Sekarang saya tidak akan melakukan itu,” katanya.

Sumber: The Star

Aqilah Paharuzi