‘Kejap Sangat Allah Pinjamkan Kau Dekat Kami’- Afdlin Shauki Sebak Adik Meninggal Dunia

Susulan nahas jalan raya menimpa adiknya, Datuk Afdlin Shauki mengumumkan khabar duka sebentar tadi.

Adik lelakinya, Jefri Adzman telah menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.14 petang ini.

“ Adik lelaki saya, Jefri Adzman Bin Aksan telah pulang ke Rahmatullah pada hari ini, pukul 5.14 pm di Hospital Thomson Kota Damansara.

“ Moga rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang beriman,” tulisnya di Instagram.

Afdlin juga memohon ampun dan maaf atas kesilapan yang pernah dilakukan kepada sesiapa yang mengenali arwah adiknya itu.

Dalam masa sama, Afdlin mendoakan agar roh adiknya tenang di sisi Allah SWT dan diampunkan segala dosa silamnya.

“ Elakkan dari fitnah dajal. Kejap sangat Allah pinjamkan kau dekat kami Jep. Yeop sayang kau Jep,” tulisnya.

Terdahulu, insiden berlaku di Kota Damansara ketika Jefri mahu membeli sesuatu di Petronas berhampiran rumah.

Katanya, adiknya yang menunggang vespa dipercayai dilanggar sebuah kereta Myvi dari arah tepi.

Akibat pelanggaran, mangsa terpelanting dan mengalami cedera parah di kepala lalu dikejarkan ke sebuah hospital.

SGMS Faida