Kembali Selepas 7 Tahun, Idola Kecil Di Rumah Serlah Bakat Peserta

Kembali selepas tujuh tahun penyiarannya, Idola Kecil Di Rumah kali ini tampil dengan konsep dan format yang baharu di TV3 sesuai dengan situasi pandemik ketika ini.

Jadi bila sebut sahaja Idola Kecil, nama-nama seperti Haqiem Rusli, Azzam Sham, Dayana Amerda, Harris Alif, Wan Azlyn ataupun lebih mesra dikenali sebagai Darling pasti menjadi perbualan ramai. Dan, ternyata pentas Idola Kecil berjaya mencungkil dan mengasah bakat-bakat pada usia muda.

Persembahan secara virtual

Menurut Pengurus Projek Idola Kecil Di Rumah, Muhamad Sufian Che Isa, sesi rakaman Idola Kecil Di Rumah kali ini akan diadakan sepenuhnya di rumah atau secara virtual tanpa sesi bertemu secara langsung memandangkan kekangan di kalangan peserta.

“Pembelajaran di rumah sudah menjadi norma baharu untuk kanak-kanak sejak pandemik Covid-19. Selain pendidikan teras, mereka juga perlu didedahkan dengan kemahiran hidup dan diberikan peluang untuk menyerlahkan bakat. Jadi, Idola Kecil Di Rumah mengambil pendekatan melakukan sesi rakaman secara atas talian dengan 6 peserta terpilih ini.

“Selain melakukan persembahan secara maya dari rumah, para peserta juga diberikan cabaran – cabaran yang berbeza seperti Sembang IK dan Genius IK untuk menguji kebolehan komunikasi, IQ dan kecerdasan otak. Kami juga akan memaparkan selebriti jemputan dalam setiap episod untuk berinteraksi dengan peserta-peserta ini supaya pengisian program tetap menarik walaupun ia dirakam secara maya.”

Senarai peserta Idola Kecil Di Rumah

Idola Kecil Di Rumah kali ini akan menampilkan enam peserta yang berumur antara 8 hingga 12 tahun antaranya;

1. Adaputra Iskandar Danial Asdahrizam (Ada, 11 tahun, Selangor)
2. Nur Zulaikha Mohamad Riduan (Ikha, 12 tahun, Selangor)
3. NurAdyena Hanim Abdul Hamid (Dyna, 11 tahun, Negeri Sembilan)
4. Razfazreyza Fenge Mat Rafengi (Reyza, 12 tahun, Selangor)
5. Nur Marsha Auni Zahira (Asha, 12 tahun, Kuala Lumpur)
6. Nur Qaireen Izyan Damia Jukiri (Qyen, 11 tahun, Sabah)

Program ini juga akan meraikan pemenang mingguan dan seorang pemenang utama akan diumumkan di penghujung program berdasarkan prestasi dan cabaran yang dilakukan pada setiap minggu.

Jadi jangan ketinggalan untuk menyaksikan Idola Kecil Di Rumah yang akan bersiaran di TV3 pada setiap hari Ahad, pukul 3 petang bermula 10 Oktober ini.

Salma Syahbuddin