Kembalikan Nasyid Klasik, ZAWFAN & Nazrey Johani Berpadu Suara Dalam “Bismillahir Rahmanir Rahim”

Kumpulan nasyid ZAWFAN mencipta lagu-lagu dakwah yang hanya menggunakan 100% pergendangan, kompang atau alat perkusi gendangan. Mereka bermatlamat ingin menghidupkan semula nasyid yang mereka rindui.

Nasyid yang hanya dinyanyikan dengan vokal harmoni diiringi kompang dan pergendangan sahaja. ZAWFAN percaya lagu dakwah sebegini dirindui masyarakat.

Bukan itu sahaja, ZAWFAN juga berjaya menghidupkan sebuah komuniti yang rindu akan lagu nasyid seperti kumpulan Raihan, Nadamurni dan The Zikr.

Susulan itu, ZAWFAN tampil dengan single kedua yang berjudul “Bismillahir Rahmanir Rahim” yang mana susunan muzik menggunakan 100% perkusi.

Sebelum ini, mereka muncul dengan lagu bertajuk “Rasul Kita” yang diterbitkan pada tahun 2021.

Kedua-dua single tersebut lirik ditulis oleh Sirr Muhammad dan Hafiz Tarmizi. Untuk susunan muzik, perkusi pergendangan digunakan dan disusun oleh Zufar Adzahan dan Fadzli Radzi.

Lebih menarik, “Bismillahir Rahmanir Rahim” turut menampilkan bekas penyanyi utama kumpulan Raihan, Nazrey Johani.

Gabungan gubahan dan susunan beserta alunan vokal berharmoni di dalam lagu ini pasti mengimbau nostalgia pendengar kepada nasyid di era 90an. Melodi santai, ringkas dan lirik yang jelas serta rangkap chorus yang berulang sememangnya menjadi resepi yang menjadikan lagu ini mudah untuk dinyanyikan setiap lapisan umur masyarakat.

“Dari sudut pandang muzik, didapati lagu ini mengambil dari pelbagai unsur dan pengaruh antaranya Nusantara, Timur Tengah, Eropah, Asia dan Amerika Latin. Ini bukan sesuatu yang asing dalam nasyid asalnya kerana ciri-ciri muzik Islam yang sejagat sifatnya seharusnya mengambil dan memanfaatkan seluruh tradisi kemanusiaan baik dari Timur mahupun Barat,” tambah Fadzli Radzi.

“Malah gabungan penyanyi utama kumpulan ZAWFAN, Yasir Tamizi dan bekas penyanyi utama kumpulan Raihan, Nazrey Johani adalah satu kolaborasi suara yang padu dan sangat baik, kami rasakan. Vokal kedua-duanya saling melengkapi, dengan penyampaian yang sederhana berjaya menggamit pendengar pada irama yang asal seperti di awal kemunculan Raihan dahulu,” yakin Yasir Tarmizi.

Untuk makluman, “Bismillahir Rahmanir Rahim” diterbitkan oleh ZAWFAN sendiri dan akan diedarkan secara digital oleh Soofi Media. Ia boleh didapati di semua platform digital seperti Spotify dan Apple Music dan boleh didengari di IKIM.fm, ZAYAN dan radio-radio tempatan yang lain seluruh negara.

“Bismillahir Rahmanir Rahim” juga mempunyai muzik video yang boleh ditonton di saluran Youtube ZAWFAN.

Atiqah Johari