Kes Langgar Lari: Bayi 4 Bulan Bertarung Nyawa Tercampak Di Tengah Highway, Ramai Selebriti Bantu Wanita Ini Cari Rakaman Dashcam

Heboh di serata media sosial mengenai berita duka yang menimpa sebuah keluarga apabila bayi berusia empat bulan tercampak ke tengah lebuh raya setelah terlibat dalam satu kemalangan langgar lari.

Perkongsian tersebut dimaklumkan oleh ibu mangsa, Natasya Nadia yang menyeru ramai pihak untuk membantu mencari rakaman dashcam kemalangan yang berlaku di lebuhraya PLUS menuju ke arah selatan (Sungkai) pada jam 7:30 malam, 11 Julai.

“Saya adalah ibu bayi berusia empat bulan, Aqasha Alhaq. Anak saya tercampak ke tengah jalan dek sebuah kereta BMW kelabu gelap plate RS (o tak perasan) yang masuk dari laluan paling kiri terus mencelah ke depan kereta kami (inspira putih).

“Kereta tersebut terus lari selepas menghimpit kami dan berpusing beberapa kaki sebelum melanggar penghadang jalan sebelah kiri.

“Anak saya tercampak ke tengah jalan dan sedang bertarung kesakitan patah tulang peha, tulang pinggul dan pendarahan di otak.

“Mohon bantu saya mencari footage dashcam kemalangan 7:30 pm 11 Julau 2022 di Highway Plus ke Arah Selatan (Sungkai). Terima kasih,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Susulan itu, perkongsian ibu mangsa tersebut telah meraih perhatian rata-rata selebriti tanah air yang turut bersimpati dengan nasib yang melanda anak kecil itu.

Ramai dalam kalangan selebriti berpakat untuk berkongsi hantaran tersebut di Instagran Story milik mereka, antara selebriti tersebut adalah Anzalna Nasir, Puteri Sarah Liyana, Mira Filzah, Aliff Satar, Elvina Mohamad, Sharnaaz Ahmad, dan Noor Nabila.

 

Aqilah Paharuzi