“Ketika Itu Ramai Orang Tanya, Betul Ke FareedPF K-Clique Adik Saya?” – Sabhi Saddi

Ada yang masih tidak tahu penyanyi dan pelakon Sabhi Saddi merupakan abang kepada anggota kumpulan rap K-Clique, FareedPF.

Tidak pernah menyembunyikan status hubungan mereka sebagai adik beradik, ramai yang menyedari perkara ini ketika Fareed mendirikan rumah tangga dengan isterinya pada Oktober lalu.

“Sebelum ini memang saya dedahkan perkara terbabit di Instagram mengenai hubungan kami sebagai adik beradik. Mungkin ramai yang tak sedar. Tapi, apa yang mengejutkan adalah ketika majlis akad nikah Fareed di Sabah yang berlangsung pada Oktober lalu.

“Ketika itu ramai orang tanya, ‘Eh, betul ke Sabhi adik beradik dengan Fareed?’. Itulah masanya semua orang nak tahu yang kami merupakan adik beradik,” kata Sabhi ketika dihubungi XTRA.

Bakal bersaing dengan pasangan artis lain dalam Famili Duo, Sabhi melihat gandingannya dengan Fareed sebagai sesuatu yang unik.

“Genre kami memang berbeza, saya lebih dikenali dengan lagu balada manakala adik pula mempunyai kelompok peminat tersendiri dalam dunia rap dan hip hop di Malaysia.

“Saya rasakan ini satu gandingan unik, adik saya sebagai rapper, saya pula penyanyi balada. Saya nak cuba kelainan dalam bidang seni dengan menyertai Famili Duo.

“Saya juga sudah lama berkecimpung dalam bidang nyanyian dan lakonan, jadi saya mahu mencuba cara lain untuk kekal relevan dalam industri,” katanya lagi.

Musim baharu Famili Duo bakal menampilkan pasangan peserta yang terdiri daripada selebriti popular bergandingan dengan ahli keluarga mereka.

Selain Sabhi dan Fareed, enam pasangan peserta yang bersaing di musim baharu Famili Duo ialah Ara Johari & Shaffiq Erwin (sepupu), Ayda Jebat & Fyna Jebat (adik-beradik), Bella Astillah & Wani Kayrie (sepupu), Sissy Imann & Naim Daniel (Sepupu), Siti Sairah & Siti Saida (adik-beradik) dan Yamani Abdillah & Zaki Yamani (adik-beradik).

Diacarakan oleh Janna Nick dan Sean Lee, Famili Duo akan menampilkan Mas Idayu dan Ajai selaku juri tetap.

Jangan lupa saksikan Famili Duo musim kedua yang bakal menemui penonton mulai 18 Disember 2022, setiap Ahad, 9.00 malam di TV3.

Padin