Categories: HiburanTrending

“Kalau Orang Katakan Gimik, Orang Tak ‘Validate’ Perasaan Saya” – Janna Nick Jawab Spekulasi Putus Cinta

Aktres dan penyanyi Janna Nick akhirnya membuka mulut sekali gus menjawab khabar yang mendakwa hubungan cinta bersama pelakon Dini Schatzmann berakhir.

Muncul dengan single terbaharu berjudul Mentari Setia tatkala pelbagai spekulasi timbul, karya ciptaannya bersama Ippo Hafiz itu menjadi luahan hati Janna.

“Hampir sebulan saya menyepikan diri, saya nak tenangkan diri. Nak ruang dan masa untuk diri sendiri.

“Kalau tanya saya sekarang, betul ke dah putus cinta, jawapan saya ‘no comment.’ Dengarlah lagu yang saya keluarkan, itulah luahan hati saya.

“Muzik video itu adalah cerita yang sebenar,” katanya dalam temu bual bersama Melodi TV3.

Ketika disoal adakah dia menggunakan publisiti putus cinta untuk mempromosikan lagu Mentari Setia, pengacara Famili Duo TV3 ini mempunyai jawapan tersendiri.

“Kalau saya sebagai penyanyi, mungkin betul, ia sebagai gimik. Tapi lagu ini 98 peratus tulisan saya, saya memang menangis ketika saya menulis lagu itu.

“Sebagai seorang yang melalui fasa breakdown, terluka, sedih, kecewa… Itu adalah luahan hati saya.

“Kalau orang nak katakan gimik, maknanya orang tak ‘validate’ perasaan saya. Saya berhak untuk kecewa dan sedih,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Janna akan muncul mengacarakan Famili Duo bersama Sean Lee.

Famili Duo bakal menampilkan pasangan peserta yang terdiri daripada selebriti popular bergandingan dengan ahli keluarga mereka.

Penyanyi Mas Idayu dan komposer Ajai pula bakal menggalas tugas juri tetap untuk program terbabit.

Antara tujuh pasangan peserta yang bersaing di musim baharu Famili Duo ialah Ara Johari & Shaffiq Erwin (sepupu), Ayda Jebat & Fyna Jebat (adik-beradik), Bella Astillah & Wani Kayrie (sepupu), Sabhi Saddi & FareedPF K-Clique (Adik Beradik), Sissy Imann & Naim Daniel (Sepupu), Siti Sairah & Siti Saida (adik-beradik) dan Yamani Abdillah & Zaki Yamani (adik-beradik).

Jangan lupa saksikan Famili Duo musim kedua yang bakal menemui penonton mulai 18 Disember 2022, setiap Ahad, 9.00 malam di TV3.

Padin