Kolaborasi Pecah Antara 2 Negara! Kugiran Masdo & The Changcuters Bakal Adakan Konsert 29 Disember Ini

Kugiran Masdo bakal berkongsi pentas bersama kumpulan Indonesia, The Changcuters dalam sebuah konsert yang akan berlangsung pada 29 Disember ini.

Bertempat di Zepp Kuala Lumpur, konsert yang dinamakan Kugiran Masdo x The Changcuters itu dianjurkan oleh Kugiran Masdo Empire (KME) buat julung kalinya dengan menggabungkan dua kumpulan dari negara yang berbeza.

Umum tahu, dua kugiran dari Malaysia dan Indonesia ini mempunyai keunikan tersendiri dalam setiap karya mereka yang mampu menyatukan penggemar muzik di dunia.

Menurut Azanol selaku penganjur, konsert gabungan dua kugiran ini bakal menjadi signifikasi penutup tahun 2022 yang telah membangkitkan semula kegemilangan industri muzik tanah air.

“Sebagai penganjur KME mahu membawakan sebuah hiburan yang bersifat nusantara dan sangat berbesar hati kerana dapat menyatukan Masdo bersama The Changcuters.

“Ini melambangkan muzik tempatan atau dari negara jiran tidak ada beza jika kita saling menghargai, menyokong dan menghormati.

“Dengan dua genre muzik yang ‘gila gilaan’, disokong peminat yang sangat menjadi tulang belakang kelangsungan perjuangan kami, KME percaya Kugiran Masdo x The Changcuters di Zepp KL kelak akan mendapat sambutan.

“Apalagi pemilihan tanggal 29 Disember sebagai sebuah signifikan penutup tahun 2022 yang sudah melihat industri seni kembali semarak dan kami berharap kehadiran 2023 akan memberi lebih banyak rezeki serta kesempatan baik untuk seluruh industri terutama muzik,” katanya.

Sementara itu, The Changcuters juga menyatakan rasa teruja mereka untuk kembali ke Malaysia setelah sekian lama tidak membuat persembahan di hadapan peminat, terutamanya buat Changcut Rangers.

“Tentu sekali lamaran yang diberi tidak akan disia siakan. Kugiran Masdo adalah sebuah ‘maniac’ di Indonesia dan The Changcuters sangat berbesar hati untuk berkongsi panggung dengan mereka.

“Kami akan pastikan malam Kugiran Masdo X The Changcuters adalah momen tak terlupakan buat semua penggemar kami,” katanya.

Orang ramai boleh mula dapatkan tiket dengan harga RM159 (Minami), RM179 (Berchanda), RM199 (Gila Gilaan), RM249 (Amore) dan RM799 (VIP Box) yang sudah mula dijual melalui https://tapau.asia/ticket.

Fatin Nurain