“Saya Tiada Rumah, Tiada Harta, Tiada Anak… Saya Tak Gila!” – Zaiton Sameon Terima Kad OKU

Penyanyi veteran yang popular menerusi lagu Menaruh Harapan, Zaiton Sameon bersyukur akhirnya dia bakal memiliki rumah selepas menerima Kad Orang Kurang Upaya (OKU) dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Memetik laporan Harian Metro, Zaiton, 66, menerima kelayakan bagi kategori OKU Fizikal: Traumatic Brain Injuries (Trauma Kecederaan Otak) sekaligus sesuai memohon untuk menduduki rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Kuala Lumpur.

“Syukur kerana masalah saya mendapat perhatian. Saya tiada rumah, tiada harta, tiada anak dan ibu bapa serta tiada semuanya.

“Walaupun saya ada adik beradik, tapi saya tak nak ganggu mereka. Sekarang saya tinggal dengan anak angkat bernama Ikah (Che Sikah Ismail) sejak 11 tahun lalu.

“Kami berjumpa pada 2010 di Johor Bahru ketika saya menyanyi di sebuah restoran. Kebetulan dia tiada ibu bapa, jadi dia panggil saya dengan nama ibu,” katanya.

Difahamkan, Zaiton kini hanya bergantung harap pada jualan produk makanan Rendang Nasib selain menyanyi.

“Saya kini bergantung harap pada jualan produk makanan Rendang Nasib selain menyanyi. Saya ada juga mohon rumah PPR tapi gagal atas alasan tiada pendapatan tetap.

“Rasa sedih orang lain dapat tapi saya tak. Mentang-mentanglah saya ‘cacat’. Saya bukan ‘cacat anggota’ tapi ‘cacat otak’. Orang pandang lekeh kata saya tak boleh menyanyi. Padahal lagu-lagu Inggeris pun saya boleh menyanyi dengan baik tanpa lupa lirik,” jelasnya.

Sementara itu Zaiton menegaskan bahawa dia tidak gila seperti yang didakwa oleh ramai orang.

“Saya tak gila! Saya cakap, kalau saya gila saya bunuh orang kan? Saya cuma tak ingat tapi saya rasa saya masih normal.

“Kalau tak normal, tak boleh menyanyi kan…tapi saya boleh menyanyi malah, saya boleh memandu,” ujarnya.

Penyerahan Kad OKU yang berlangsung di ibu pejabat JKM Wilayah Persekutuan itu dilakukan oleh Pengarah JKM Wilayah Persekutuan, Che Samsuzuki Che Noh dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan, Datuk Zaizalnizam Zainun.

Menurut Samsuzuki, Zaiton layak menerima kad OKU berdasarkan bukti-bukti seperti surat pengesahan doktor yang diterima pihaknya.

Sekadar info, pada tahun 1990, Zaiton terbabit dengan kemalangan di Jalan Kuala Lumpur- Ipoh yang turut meragut nyawa anak tunggalnya, Azirwan Abu Bakar yang pada ketika itu berumur 13 tahun.

Bahkan, kemalangan ngeri itu juga turut meragut nyawa pemuzik pengiringnya, Ismail Shaari sehingga menyebabkan Zaiton mengalami gangguan emosi selama 11 tahun bermula pada Februari 1990 sehingga Julai 2001.

 

Sumber/ Kredit Foto: Harian Metro, Melodi

Salma Syahbuddin