Categories: Hiburan

Konsert 2018 Terpaksa Dibatalkan… Armada Band Ubat Kerinduan Peminat, Bakal Gegar Zepp KL 29 Oktober Ini!

Kumpulan muzik Indonesia yang popular dengan lagu Asalkan Kau Bahagia dan Penantian, Armanda Band bakal menghiburkan peminat di Kuala Lumpur pada 29 Oktober hadapan.

Bakal menggegarkan Zepp Kuala Lumpur menerusi Konsert Armada First Encounter, ini adalah konsert pertama mereka di ibu negara selepas pernah membatalkan konsert pada 2018.

“Ini adalah kali pertama kami bakal beraksi di Kuala Lumpur selepas konsert sebelum ini terpaksa dibatalkan kerana memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum 2018. Kami akan mempersembahkan lagu-lagu popular mereka antaranya Asal Kau Bahagia, Harusnya Aku, Penantian dan banyak lagi pada malam penuh bermakna itu.

“Selain itu, lagu-lagu Armada Band yang turut mencipta fenomena tersendiri di plarform media sosial seperti TikTok dan Instagram juga bakal mengubat kerinduan peminat dan penggemar kami di Kuala Lumpur,” kata Rizal selaku vokalis Armada Band.

Menerusi konsert yang dibawakan oleh Hitch Marketing Group dan juga SK One Ventures Sdn Bhd ini, Armada Band yang turut dianggotai oleh Andit dan Mai ini tidak sabar untuk menghiburkan peminat di Kuala Lumpur.

“Ini bukanlah kali pertama kami hadir ke Malaysia. Namun, kehadiran kami sebelum ini adalah lebih kepada menjayakan rangka promosi untuk lagu dan album. Kali terakhir kami ke Malaysia adalah pada 2018.

“Untuk konsert pertama kami di Malaysia ini, tentunya kami rasa teruja. Pada masa sama, ada juga rasa gemuruh memandangkan, sekarang adalah musim kebanjiran konsert di Malaysia kerana ia sedikit sebanyak memberi tekanan buat kami untuk membuat persembahan.

“Jadi, konsert ini harus berbeza dan memberi impak kepada penonton yang hadir. Kami akan persembahkan 15 lagu dan konsepnya agak pelbagai. Susunan muzik juga akan diberikan sentuhan baharu yang menarik buat peminat.

“Kami akan tampilkan penyanyi jemputan yang akan turut sama menyertai kami kami membuat persembahan. Namun, itu biarlah kami simpan dahulu sebagai kejutan dan akan diumumkan kelak,” katanya.

Dapatkan tiket Konsert Armada First Encounter yang boleh dibeli secara online di www.ticket2u.com.my

Padin