Konsert Apresiasi Irama Keroncong Bakal Gemakan Istana Budaya

Sebuah konsert yang bertemakan irama keroncong bakal diadakan pada bulan Ogos ini dan turut menampilkan nama-nama besar seperti Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Yusni Hamid, Datuk Awie & Datin Alyah dalam konsert tersebut.

Konsert yang diberi nama Konsert Apresiasi Irama Keroncong Malaysia itu bertujuan untuk menghargai dan memberi apresiasi terhadap muzik tradisional ini.

Konsert ini dianjurkan oleh Irama Studios berserta sokongan daripada Kementerian Komunikasi Dan Digital serta Mycreative Ventures Sdn Bhd.

Apa yang lebih menarik dengan konsert ini lagu yang dipersembahkan oleh penyanyi hebat ini akan disusun mengikut irama Keroncong diringi oleh pemuzik yang cukup berprolifik dari Orkestra Keroncong Irama Perindu.

Menurut pengasas Irama Studios, Haji Mahzan Manan, dia mahu agar genre keroncong ini terus berkembang dan kekal kerana genre ini mempunyai keuinikan dan keistimewaan tersendiri.

“Konsert Apresiasi Irama Keroncong Malaysia juga bukan dikhususkan but peminat tegar namun selaku penganjur kami mahu menarik minat penggemar muzik baharu untuk ikut kenal seterusnya menikmati irama Keroncong yang tidak patut dilupakan,” katanya.

Konsert ini juga bakal disertai oleh penyanyi generasi baharu seperti Rasyidah Abd Rahim (Bintang Klasik 2012), Rizal Ahmad (Juara Bintang Nostalgia 2013), Jamilah Abu Bakar (Puteri keroncong) dan Han Byul.

Konsert Apresiasi Irama Keroncong Malaysia dijadualkan berlangsung di Istana Budaya pada 5 dan 6 Ogos 2023.

Tiket-tiket konsert juga sudah boleh dibeli menerusi www.ilassoticket.com.my.

Izzi Farhana