Lagu Sama Versi Berbeza, Shiha Zikir Akui Minta Izin Diva Indonesia

Penyanyi Shiha Zikir mengaku risau merakamkan semula lagu nyanyian Kris Dayanti, Pilihlah Aku dalam versi dangdut.

Kata Shiha ketika ditemui di konsert Lazada 11.11 Super Show, dia ada menghubungi diva Indonesia terkenal itu sebelum masuk ke studio merakam lagu berkenaan.

“Saya risau pasti ada netizen yang membandingkan cara penyampaian kami dalam lagu. Tetapi saya tidak menjadikan itu sebagai alasan untuk tidak mencuba sesuatu yang baharu.

“Beliau juga mengucapkan selamat kepada saya agar mudah blend dengan lagu ini. Memang rasa teruja kerana penyanyi asal juga memberi semangat kepada saya untuk melakukan yang terbaik,” katanya optimis.

Single Pilihlah Aku siap dirakam dalam versi dangdut dan bakal diedarkan ke seluruh platform digital pada bulan depan.

Tambah Shiha, dia turut mendapatkan bantuan daripada guru vokal ketika proses rakaman berjalan.

“Sebelum ini saya pernah menyanyikan lagu dangdut cuma di mana-mana acara persembahan. Kali ini tekanan itu memang terasa memandangkan lagu ini nyanyian asal diva Indonesia.

“Saya harap peminat di Malaysia dan Indonesia suka lagu ini dalam rentak yang lebih segar,” akhiri Shiha. 

SGMS Faida