Categories: HiburanSelebriti

Lalui Pengalaman Pahit Masa Kecil, Janna Nick Tebus Luka Zaman Kanak-Kanak Dalam Teater?

Tidak mempunyai pengalaman indah sewaktu zaman kanak-kanak membuatkan pelakon dan penyanyi, Janna Nick terpanggil untuk terlibat untuk pementasan teater kanak-kanak.

Menurutnya, cerita kanak-kanak sangat dekat dengan jiwanya dan dengan cara ini sedikit sebanyak dapat menebus zaman silamnya.

“Betul. Bila cakap mengenai zaman kanak-kanak ni, jiwa saya pada teater kanak-kanak ni sangat emosi.

“Masa kecil-kecil saya tidak melalui pengalaman kanak-kanak yang indah dan manis jadi bila pertama kali saya buat teater Siti Di Dalam Fantasi rasa macam seronok dapat menyampaikan imaginasi dan fantasi untuk kanak-kanak,” jelasnya.

Sementara itu, Janna percaya ramai kanak-kanak yang tidak mempunyai memori indah sewaktu kecil dahulu.

Malah, dia mengajak orang ramai untuk menonton Teater Kanak-Kanak Pak Pandir & Labu Ajaib bagi melupakan kesedihan di dalam hati.

“Saya yakin ada kanak-kanak di luar sana yang melalui fasa macam saya. So, saya harap dengan adanya teater ini dapat kita berikan mereka gambaran untuk berikan rasa gembira walaupun untuk seketika.

“Hiburan untuk lupakan rasa kesedihan yang ada dalam hati mereka.

“Memang cerita kanak-kanak memang sangat dekat dengan jiwa saya,” ujarnya.

Teater terbitan JN Studios & Entertainment ini akan mengadakan enam persembahan yang berlangsung pada 13 sehingga 15 Oktober di Istana Budaya.

Selain Janna, barisan pelakon lain yang terlibat dengan teater ini ialah Bell Ngasri, Puteri Sarah Liyana, Norreen Iman, Aya Amiruddin dan Naque Ariffin.

Maya Basir