Lebih Meriah, Jihan Muse Sertai Geng Pagi Hot!

Pelawak terkenal, Jihan Muse kini menyertai stesem radio Hot FM bermula 17 September ini.

Penyertaan Jihan yang juga seorang pengacara di dalam stesen radio popular itu merupakan salah satu usaha untuk menarik lebih ramai pendengar.

Pengurus Kumpulan RRMP, Anida Mohd Tahrim, berkata Jihan memeriahkan Hot FM menerusi segmen sketsa Geng Pagi Hot bersama Ajak, Fizie dan Shuk.

“ Pemilihan Jihan dibuat selepas penelitian bersama pengurusan radio yang mana kami yakin dengan kemampuannya.

“ Pelbagai faktor diperincikan sebelum pihak pengurusan melakukan pemilihan dalam memperkukuhkan lagi barisan peneraju hadapan Hot FM,” katanya.

Anida memberitahu, Jihan membuat kemunculan pengenalan selama sejam dalam sketsa Story Mory Jihan, pagi tadi.

“ Berdasarkan komen, ramai yang suka dengan gandingan terbaru itu. Kami melihat kemampuan Jihan mewarnai segmen baharu itu,” katanya.

Sementara itu, penyampai Linda Onn mengisi slot petang di Kool FM sejak 20 Ogos lalu turut meraih reaksi positif pendengar berdasarkan maklum balas menerusi media sosial.

SGMS Faida