Lokasi Perkuburan Beri Ilham Buat Gavin Yap Hasilkan Filem ‘Geng Kubur’

Kawasan perkuburan dijadikan inspirasi sebagai lokasi penggambaran bagi filem ‘Geng Kubur’ yang bakal ditayangkan pada April di pasaran.

Pengarah terkenal Gavin Yap berkata tanah perkuburan telah menimbulkan idea buat dirinya dalam menghasilkan filem seram tersebut.

“Saya tidak pasti sama ada secara kebetulan atau tidak, tetapi kami menetap di Damansara Utama, rumah kami terletak hampir dengan tanah perkuburan. Setelah pindah ke Pulau Pinang, kediaman kami juga masih dekat dengan kubur,” ujar Gavin ketika ditemu bual.

Tambah Gavin, dia menyifatkan idea yang dihasilkan dalam filem ini bukan sekadar mengetengahkan elemen seram semata, tetapi ia menitikberatkan tentang perjalanan kehidupan empat orang sahabat dalam kehidupan harian mereka.

“Di sebalik kegemaran melepak di kawasan kubur, keempat-empat sahabat ini turut mempunyai kisah sendiri yang menghantui kehidupan mereka dan saya ingin tampilkan elemen seperti ini dalam naskah ‘Geng Kubur,” katanya.

Filem ini menampilkan barisan pelakon-pelakon baharu seperti Firdaus Sufiyan, Mia Sara Shauki, Lion Chong dan Sasidaran sebagai watak utama.

Sementara itu, Michael Chen sebagai penerbit eksekutif ‘Geng Kubur’ berkata pihaknya tertarik untuk menerbitkan naskah ini kerana kelainannya yang ditampilkan.

“Filem ini tidak mengetengahkan elemen seram semata, tetapi tarikan lainnya termasuk mengangkat tema persahabatan, kekeluargaan dan penerimaan diri.

“Dalam filem ini, setiap watak utama tidak menjalani kehidupan yang sempurna dan mereka perlu berhadapan dengan isu yang melanda diri masing-masing. Boleh dikatakan, ada mesej yang ingin disampaikan kepada penonton,”ujarnya.

Filem ‘Geng Kubur’ telah menelan kos keseluruhan sebanyak RM 1.2 juta dan filem ini bakal menemui penonton di pawagam mulai 25 April 2024.

Dhia Iwana