Majlis Terima Kasih Cikgu Didik TV KPM 2022 Hadiah Penghargaan Buat Warga Pendidik

Guru adalah obor ilmu menjadi cahaya dalam membantu pelajar untuk berjaya di dalam pelajaran. Oleh itu, NTV7 rangkaian televisyen Media Prima Berhad (MPB) telah menganjurkan majlis Terima Kasih Cikgu Didik TV KPM 2022

Majlis ini melibatkan seramai 400 orang guru dan pegawai Kementerian Pendidikan (KPM) yang telah terbabit dalam penerbitan saluran televisyen pendidikan iaitu DidikTV KPM.

Selain itu, majlis ini disambut bagi menghargai jasa dan pengorbanan guru penyampai, pegawai KPM, dan jurubahasa isyarat yang telah memberikan masa juga tenaga dalam memastikan programa yang diterbitkan berkualiti dan menepati kurikulum sekolah.

Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek kandungan Didik TV KPM bukan sahaja dilihat oleh pelajar malah dijadikan rujukan buat semua guru dan ibubapa.

“Kandungan Didik TV KPM menjadi sumber rujukan guru-guru di seluruh negara yang mendapat ilmu baharu menerusi pelbagai inovasi serta perkongsian teknik dalam pengajaran dan pembelajaran yang bersesuaian dengan pembelajaran Abad ke-21 (PAK-21).

“Malah murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) juga tidak ketinggalan mendapat manfaat daripada kandungan Didik TV KPM kerana saluran ini turut menerbitkan kandungan khusus untuk Pendidikan Khas, selain menyediakan jurubahasa isyarat untuk program pendidikan arus perdana.” katanya dalam ucapan video yang telah disiarkan.

Info tambahan, DidikTV KPM adalah televisyen pendidikan milik Kementerian Pendidikan (KPM). DidikTV KPM mula dilancarkan pada 17 Februari 2021 dan dikendalikan oleh NTV7, rangkaian televisyen Media Prima Berhad (MPB).

 

Halimey Zamal