Mawar Runsing Anak Dan Seisi Rumah Jatuh Sakit

Pelakon, Mawar Rashid (24) yang terkena jangkitan virus Influenza A baru-baru ini bukan sahaja terpaksa menyudahkan penggambaran dalam keadaan tubuh yang lemah, tetapi dia juga runsing memikirkan keadaan anaknya, Raden Muhammad Rafael yang dimasukkan ke hospital akibat jangkitan virus yang sama. 

Pelakon yang pada ketika itu berada di Bukit Fraser, Pahang kerana komitmen terhadap penggambaran drama bersiri TQ Captain itu berkata bukan itu sahaja, malah seisi keluarga dijangkiti virus yang sama dan terpaksa dikuarantin. 

“Alhamdulillah, selepas dimasukkan wad selama beberapa hari, Rafael sudah beransur sihat dan dibenarkan pulang. 

“Saya sangat bersyukur kerana hati tidak tenang menghabiskan penggambaran di Bukit Fraser.  Komitmen kerja menuntut saya berada di lokasi. 

“Lebih mencabar, tiga anak saudara, abang, ibu dan pembantu rumah juga dijangkiti virus sama serta perlu dikuarantinkan. 

“Saya berjangkit dengan Rafael. Biarpun lemah, saya teruskan berlakon sehingga penggambaran selesai,” katanya kepada BH Online sambil meluahkan rasa syukur kerana semua ahli keluarga sudah bertambah sihat. 

Untuk rekod, Mawar dan Raf Yaakob mendirikan rumah tangga pada 9 November 2017 dan mempunyai seorang cahaya mata yang dilahirkan pada 13 Mac lalu. Ini merupakan perkahwinan kedua bagi Raf yang juga mempunyai anak dari perkahwinan pertama iaitu Rayya (8) dan Raysaa (4).

Kredit Foto: Instagram @mawarashid

 

Del14