Shiha Zikir Minta Restu Kris Dayanti

Shiha Zikir atau nama penuhnya Nurshiha bint Mohd Zikir tidak berfikir panjang apabila menghubungi penyanyi tersohor Indonesia, Krisdayanti atau lebih dikenali sebagai ‘KD’ untuk meminta restu penyany lagenda itu untuk merakamkan semua lagu Pilihlah Aku di dalam versi dangdut. 

Peserta Mentor musim ke-5 ini mengembangkan kerjaya nyanyiannya di Indonesia selepas menyertai program realiti, D’Academy Asia dan amat meminati KD. 

“Semuanya bermula selepas saya dipelawa syarikat rakaman, MicProject dan komposer lagu Pilihlah Aku untuk merakam semua lagu itu dalam versi dangdut. 

“Meminati Krisdayanti, saya terima pelawaan itu dan mencabar keupayaan diri sendiri,” katanya kepada BH Online. 

Rakaman semula single Pilihlah Aku adalah projek kerjasama syarikat rakaman, Todak Music Malaysia dan MicProject.

Shiha yang menghubungi KD melalui whatsapp meluahkan rasa gembira dan teruja apabila KD memberi keizinan untuknya membawa lagu tersebut dan penyanyi berharap Shiha mampu membawa lagu itu dengan cara sendiri malah mendoakan semuanya berjalan lancar. 

“Saya sangat gementar dan pelbagai persoalan bermain dalam fikiran.  Mampukah saya membawa lagu ini dengan versi lain?

“Lagu itu dirakamkan dalam tempoh singkat. Setibanya dari Kuala Lumpur, saya terus mulakan proses rakaman sehingga beberapa jam. 

“Namun, proses itu bukan mudah. Buat kali pertama, saya rasa gementar. Hampir rasa putus asa kerana tak dapat menyanyikan lagu itu seperti dimahukan.

“Saya fikir prosesnya mudah.  Namun, perkara sebaliknya berlaku.  Muziknya dangdut tetapi gaya nyanyian seperti biasa.  Selepas diberi semangat termasuk sokongan guru vokal, Joel Kriwil, proses rakaman berjaya disempurnakan,” kata Shiha yang merakamkan lagu itu di sebuah studio di Jakarta, Ogos lalu. 

Kredit: Instagram @shihazikir
Del14