Muat Naik Video Momen Mesra Bersama Anak-Anak Yasmin Hani, Kapsyen Alif Hadi: “Walaupun Bukan Darah Daging”

Umum mengetahui kisah percintaan di antara pelakon dan pengacara Alif Hadi dan Yasmin Hani sejak awal tahun lalu.

Bukan sahaja hubungan mereka disenangi peminat, kemesraan Alif Hadi bersama anak-anak Yasmin turut dapat dilihat apabila lebih serasi bersama.

Terbaharu, Alif memuat naik sebuah rakaman video yang memaparkan momen-momen dia meluangkan masa bersama dua cahaya mata Yasmin dengan sungguh mesra sekali.

Antara momen-momen yang dipaparkan ialah gelagat anak kedua Yasmin iaitu Eissa Elzander Wong mencium pipi Alif. Turut kelihatan anak kedua, Noah Ismail Wong beriadah bersama.

“Walaupun bukan darah daging..,” tulis Alif ringkas.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengikut memberi pelbagai reaksi terhadap video yang cukup manis itu. Malah ramai turut memuji Alif kerana memberi kasih sayang kepada anak-anak Yasmin.

Ketika artikel ini ditulis, perkongsian Alif tersebut telah meraih lebih 2800 tanda suka dan lebih 50 komen.

Terdahulu, Alif memaklumkan dia enggan terburu-buru dalam meneruskan hubungan bersama Yasmin ke fasa seterusnya sebaliknya mahu mengambil hati Noah dan Eissa dahulu.

Untuk rekod, Yasmin Hani pernah menikah bersama Shahrin Razali pada 2011. Mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Noah Ismail Wong, 10, dan Eissa Elzander Wong, 7.

Khairil Khusyairi