Nadia Brian Mohon Maaf Dengan Netizen

Pelakon, Nadia Brian, memohon maaf kepada mana-mana pihak yang tersinggung dengan gaya pemakaiannya bagi menjayakan sesi fotografi.

Memilih untuk tidak mudah melatah dengan kecaman dilemparkan oleh warganet terhadap dirinya, Nadia turut menghargai sikap prihatin masing-masing.

“Saya tidak terlalu ambil pusing kecaman dan kata-kata negatif warganet kerana ia takkan pernah berakhir. Namun, saya memohon maaf andai gaya pemakaian saya menerusi hantaran terbabit mengguris hati dan sensitiviti mana-mana pihak.

“Insya-Allah, saya sendiri dalam proses untuk berubah ke arah lebih baik. Begitupun, saya tidak mahu menjadi seorang yang hipokrit semata-mata bagi memuaskan hati orang lain. Biarlah perubahan itu datang daripada keikhlasan hati sendiri.

“Gambar yang dikongsi di laman sosial itu pula adalah daripada sesi fotografi dijayakan sebelum ini. Malah, saya juga bersyukur apabila keluarga bakal mentua tidak memperbesarkan perkara itu,” katanya kepada BH Online.

Sebelum ini, beberapa perkongsian Nadia di laman Instagramnya mengundang kecaman warganet kerana dia dikatakan semakin seksi sejak bergelar tunangan orang.

Malah, mereka turut mengaitkan keluarga bakal mentua pelakon itu apabila membincangkan mengenai perkara terbabit.

Nadia atau nama sebenarnya Nadia Najwa Mohamed Rashidi mengikat tali pertunangan dengan pengurus akaun di sebuah syarikat swasta, Mu’izz Nasruddin, pada 4 Mei lalu.

Mengulas mengenai tarikh pernikahannya, Nadia, 28, menghela nafas lega apabila berjaya mendapatkan lokasi bersesuaian untuk hari bahagianya, November depan.

“Saya tidak menyangka majlis perkahwinan akan menjadi sebegini rumit kerana ia bukan sekadar membabitkan saya dan Muiz, malah keluarga kedua-dua belah pihak. Selain menepati tema, lokasi itu juga perlu memuatkan jemputan seramai 1,500 orang,” kata Nadia.

Berkongsi mengenai perkembangan kerjaya pula, Nadia memberitahu dia bakal memulakan penggambaran drama, Lelaki Seperti Dulu, arahan Eon Suhaimi untuk saluran TV3.

Selain Nadia, drama terbabit turut menampilkan Sharnaaz Ahmad dan Nelydia Senrose selalu teraju utama.

Kredit: Berita Harian Online.

SGMS Enal