Nafi Suami Seorang ‘Scammer’, Heliza Helmi Enggan Saman Fathia Latiff – “1 Malaysia Faham Keadaan Dia”

Penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Datin Seri Heliza Helmi memaklumkan kenyataan yang dikeluarkan oleh pelakon Fathia Latiff berkenaan suaminya, Datuk Seri Mahadi Zaman seorang ‘scammer’ adalah tidak benar.

Menurut Heliza, dia tidak terkesan dengan kenyataan aktres terbabit memandangkan dia sedar akan kondisi kesihatan pelakon Ariana Rose itu.

“Masa mereka buat live tu, saya betul-betul tak tahu apa-apa, tapi bila ada orang forwardkan, jujurnya saya faham.

“Saya tidaklah mengenali Fathia secara rapat tapi bila dia keluarkan kenyataan macam itu, saya rasa satu Malaysia sudah faham keadaan dia.

“Jadi tanpa perlu saya mengeluarkan apa-apa kenyataan sekalipun, orang akan faham dan pada saya mungkin ini adalah masa dia diuji dan apa yang diperlukan adalah doa dari seluruh mukmin,” katanya.

Meskipun kenyataan tersebut berunsur fitnah, Heliza enggan mengambil sebarang tindakan undang-undang, sebaliknya memaafkan aktres itu.

Heliza bagaimanapun menegaskan dirinya akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap Fathia sekiranya isu tersebut semakin berlarutan.

“Saya tidak rancang untuk mengambil tindakan undang-undang sebab apa yang diperkatakan adalah tidak betul sama sekali.

“Di pihak saya, saya yakin semua orang faham keadaan dan saya dan suami memaafkan perbuatannya itu.

“Saya rasa dia tidak perasan situasi ketika itu, mungkin dia khilaf tapi sekiranya perkara ini berlarutan, lain pula ceritanya kelak. Lagipun suami saya memang tidak mengenali dia,” katanya.

Sebelum ini, Fathia mendakwa suami Heliza, Mahadi merupakan seorang ‘scammer’ kerana gagal menyiapkan rumah yang dibelinya sejak lima tahun lalu.

Fathia turut mendakwa dia masih tidak nampak bayang kediaman yang dijangka siap pada tahun lalu itu meskipun telah membayar sebanyak RM5,000 secara ansuran bulanan.

Fatin Nurain