Alami Kesukaran Bernafas, Noki Harap Kesihatan Beransur Pulih

Ahli kumpulan K-Clique, Noki tampil berkongsi momen dirinya berdepan detik cemas apabila mengalami kesukaran bernafas.

Perkara itu telah telah dikongsikan oleh Noki menerusi hantaran di Instagram Story, semalam.

Memetik laporan Harian Metro, Noki menyatakan dia mengalami masalah pada saluran pernafasan selepas membuat pemeriksaan di sebuah klinik.

“Ketika mengalami sesak nafas saya terus bergegas ke klinik. Sekarang ini saya masih menerima rawatan.

“Doktor maklumkan pernafasan saya agak tidak normal dan seakan tersumbat. Saya pula memang ada masalah lelah,” katanya.

Tambah Noki, dia kerap mengalami kesesakan nafas sejak minggu lalu, namun berharap kesihatannya beransur pulih sebelum mengerjakan umrah.

“Sebenarnya ketika dalam program The Masked Singer lagi saya dah kerap sesak nafas, tetapi masih belum menerima sebarang rawatan.

“Baru sekarang ada masa nak ke klinik. Semoga semuanya baik-baik sahaja dan saya cepat sembuh,” katanya.

Menurut kemas kini di Instagram Story miliknya, Noki sudah berangkat ke Tanah Suci pagi tadi bersama anggota K-Clique iaitu MK, Somean bersama beberapa teman-teman yang lain.

Sumber: Harian Metro

Fatin Nurain