“Noorkhiriah Orang Pertama Bagi Saya Tudung Untuk Berhijrah” – Ieda Moin

Pelakon serba boleh Noorkhiriah mengakui tidak tahu bagaimana kehidupannya tanpa seorang teman baiknya, iaitu pelakon Ieda Moin.

Menurut laporan mStar, Noorkhiriah atau nama lengkapnya Noorkhiriah Ahmad Shapie, 45, berkata, dia tidak dapat membayangkan kehidupannya sekiranya teman baiknya itu pergi menghadap Ilahi terlebih dahulu.

“Saya selalu membayangkan macam mana kalau dia (Ieda) meninggal dunia. Saya tidak tahu bagaimana kehidupan saya nanti.

“Saya takut kalau salah seorang daripada kami meninggal dunia dulu,” katanya.

Dalam pada itu, Ieda Moin atau Siti Haida Abdul Moin, 44, juga memberitahu bahawa dia dan Khiriah pernah berbicara soal kematian.

Tambah Ieda, dia berkongsi penghijrahannya kini banyak dibantu dan disokong Khiriah malah mendedahkan Khiriah juga merupakan individu pertama yang membelikannya tudung.

“Masa kami muda dulu… Kami masing-masing pernah lalai. Saya boleh katakan Khiriah antara individu yang banyak memberi sokongan terhadap penghijrahan saya (menutup aurat).

“Dia (Khiriah) juga orang pertama yang membelikan saya tudung saat saya mahu berhijrah,” jelasnya.

Lebih 20 tahun berkenalan, Ieda akui dia dan pelakon Bedah Tong Gas itu jarang bertemu namun Khiriah tetap menghubungi bertanya khabar malah menawarkan bantuan kewangan.

“Kami jarang berjumpa… Selepas kami berkahwin masing-masing buat hal sendiri. Namun, apabila terdetik sahaja di hati mesti salah seorang daripada kami akan menelefon.

“Korang ada kawan tak yang telefon untuk bertanya khabar dan beritahu sama ada saya nak pakai duit atau tidak.

“Demi Allah dia yang telefon saya dan cakap ‘kalau kau nak duit, kau beritahu aku tau’… dia boleh sampai tahap itu.

“Sampai saya cakap kau ni macam aku tak ada duit sahaja… kalau saya tak ada duit saya cakap,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Suami Penguat Dan Semangat Saya Untuk Berubah Ke Arah Kebaikan” – Noorkhiriah

ARTIKEL BERKAITAN: Noorkhiriah Akui Bukan Senang Kekal Istiqamah – “Saya Pun Masih Haru-Biru, Fizikal & Mental Kena Strong”

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] “No Bulu Mata, No Ketat-Ketat” – Penampilan Noorkhiriah Terima Anugerah Dipuji, Suami Yang ‘Approve’

Sumber: mStar

Khairil Khusyairi