Hiburan By: SGMS Enal December 5, 2017 @ 7:51am

Orang Kata Saya Menyanyi Lagu Orang Gila

Diejek sebagai penyanyi lagu orang gila dan tidak beretika, tapi kini tidak lagi apabila Upiak Isil sudah mampu tersenyum lebar dengan pencapaiannya sendiri.

Siapa pernah sangka, lagu berjudul Tak Tun Tuang yang pernah menjadi bahan ketawa kini tular di Malaysia, Thailand serta tanah kelahirannya.

Namun, penyanyi dari Bukit Tinggi, Indonesia, Upiak atau nama sebenarnya Silvia Nanda ini mempunyai kisah sedih disebalik kejayaannya sekarang.

“Memang saya pernah patah semangat apabila ada yang merendahkan dan menganggap saya tak beretika dari segi pemakaian kerana menyanyi dengan berbaju tidur. Mujur ada keluarga yang sentiasa menyokong dan menjadi penguat semangat apabila saya hampir tersungkur. Perlahan-lahan, saya cuba buktikan saya bukan penyanyi lagu orang gila,”katanya.

“Dulu, kehidupan saya dan keluarga sangat susah. Saya mula bekerja sebagai penyanyi seawal usia 13 tahun untuk menyara keluarga. Ketika saya masih kecil, ibu bapa saya bercerai dan waktu itu, ibu sedang hamilkan adik saya yang ketiga. Jadi, saya dan adik kedua terpaksa membantu ibu mencari duit.

“Saya pernah berkahwin tetapi cuma bertahan dua tahun setengah saja. Saya anggap itu sebagai takdir dan pengalaman itu menjadikan saya wanita yang lebih kuat,” tambahnya.

Sebenarnya, Upiak pernah menghasilkan 19 album disepanjang kariernya sejak berusia 13 tahun.

“Di Padang, album saya boleh dikatakan terjual dan orang tahu kewujudan saya sebagai penyanyi. Namun, tidak seperti di Malaysia, di kampung saya tiada royalti dan sebagainya.”

Tidak hanya menyanyi, Upiak juga dikenali sebagai pelawak di tempatnya serta dia juga memilih untuk menyanyikan lagu secara sumbang.

“Saya boleh menyanyi dengan baik, tetapi kalau saya menyanyi sebaik mana pun, akan ada orang yang lagi bagus daripada saya. Jadi, saya tampilkan kelainan dengan menyanyikan lagu seperti yang kalian dengar,” katanya.

| Live TV

| ARTIKEL Xtra