Padu! Budak Tebing Cecah 10 Juta Tontonan, Kini Giliran ‘The Gadis’ Pula Tawan Slot Lestary

Drama bersiri Budak Tebing yang mengambil pendekatan masalah sosial dalam kalangan remaja mendapat perhatian dan ikutan ramai sejak disiarkan.

Episod akhir drama ini yang ditayangkan pada 9 April 2020 telah mencecah 5 juta penonton dan secara keseluruhan Budak Tebing berjaya mengumpul 10 juta penonton sepanjang siaran 13 episod di slot Lestary TV3!

Di platform digital pula, drama ini telah melebihi 9 juta jumlah tontonan digital di Youtube TV3Malaysia dan Drama Sangat (Sumber: Nielsen dan Youtube Insights).

Budak Tebing yang dilakonkan oleh Adam Lee, Aedy Ashraf, Bella Dowanna, Eyka Farhana, Fariz Isqandar, dan Firdaus Ghufran menyaksikan Arif (Adam Lee) dan Tongki (Aedy Ashraf) berjaya meleraikan salah faham mereka dan menjalin semula talian persahabatan. Malahan mereka juga membantu pihak berkuasa menumpaskan kegiatan jahat Broger (Syazwan Zulkifly), seterusnya melenyapkan kegiatan haram yang mencemarkan tebing, tempat kegemaran mereka. 

 

‘The Gadis’ Angkat Tema Kekeluargaan

Menyusuli Budak Tebing, drama bersiri The Gadis terbitan Mermaid Studios arahan Liyana Jasmay pula ‘mengganas’ di slot Lestary bermula 10 April 2020. Mengangkat tema keruntuhan akhlak remaja yang inginkan kemewahan dan masalah keluarga, drama bersiri yang mempunyai 7 episod ini menampilkan pelakon-pelakon seperti Yuna Rahim, Fatin Afeefa, Erynne Erynna, Hun Haqeem dan Syafie Naswip. 

Fatin Afeefa

The Gadis menceritakan sekumpulan gadis dari kampung yang ingin mengubah hidup masing-masing. Lina (Erynne Erynna) dan Lisa (Yuna Rahim) tinggal bersama ayah mereka, Nad (Fatin Afeefa) bersama Nek Timah. Kepulangan Nad ke kampung, menarik perhatian ramai terutama Lisa kerana semakin cantik dan hidupnya kelihatan mewah.

Lina bertauh kasih kembali dengan bekas kekasihnya Shazman, tetapi ibu Shazman lebih menyukai Nad kerana merasakan dia sesuai dengan anaknya yang berlulusan tinggi. Nad mengajak Lisa ke KL, jika dia ingin menjadi sepertinya. Adakah Lisa akan mengikuti kata hatinya? Apa yang bakal menanti dia di KL?

Kalau nak tahu kenalah tengok The Gadis yang akan bersiaran pada setiap Rabu hingga Jumaat pada jam 9.00 malam di slot Lestary, strim di laman sesawang www.tonton.com.my serta korang juga boleh saksikan di Youtube TV3 Official!

Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, dan Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat okay?

Syafiqa Irdina