Pengsan Ketika Jawab Exam, Zaki Yamani Dikejarkan Ke Hospital

Penyanyi Zaki Yamani dikejarkan ke sebuah pusat perubatan kerana pengsan sewaktu menjalani peperiksaan di sekolah.

Memetik laporan Harian Metro, ibunya, Fatimatuzahra Samad memberitahu badannya terlalu lemah kerana Zaki mengalami demam dan semput.

Menurutnya, dia hanya mengetahui berita anaknya demam selepas dihubungi pihak sekolah.

“Saya pun baru tahu sebab semalam dia okay saja sewaktu hadir sebuah sidang media. Saya dihubungi guru kelasnya dan terus ke sekolah untuk membawanya ke hospital.

“Sepatutnya doktor menasihatkan dia ditahan di wad tetapi Zaki mahu berehat sepenuhnya di rumah kerana Jumaat ini kena hadir latihan konsert.

“Sekarang dia masih tidur tapi keadaannya okay. Dia memang kurang rehat sejak kebelakangan ini selain sekarang pun musim senang diserang demam,” ujarnya.

Sebelum ini, anak kepada penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah pernah mengalami insiden seperti ini.

Tambah ibunya, kesihatan Zaki merosot akibat terlalu penat dan bukan menghidapi penyakit kritikal dan dinasihatkan supaya kembali membuat pemeriksaan lanjut keadaanya pada sebelah malam.

“Dia pun memang tak henti bekerja sejak akhir-akhir ini. Mujur keputusannya negatif untuk ujian saringan Covid-19. Dia cuma terlalu kurang rehat hingga demam dan semput.

“Kalau kena tahan susah juga, jadi saya minta untuk rehat di rumah. Dia pun mahu berada di rumah kerana lebih mudah. Jika malam masih teruk demamnya, perlu dibawa ke hospital lagi,” katanya.

Maya Basir