Persiapan Raya, Aiman Tino Bawa 1200 Balang Kuih Ke Brunei

Penyanyi Aiman Tino teruja bakal ‘berkampung’ di Brunei pada bulan Ramadan ini.

Bukan atas urusan kerjaya seni tetapi penyanyi terkenal dengan lagu Ku Sesat Dalam Rindu ini memaklumkan bakal terbang bersama 1200 balang kuih raya.

“ Ini merupakan kunjungan kedua ke sana pada bulan Ramadan bagi tujuan berniaga dan bukan menyanyi. Kalau dulu saya berniaga serunding, tahun ini saya akan membawa empat jenis kuih raya ke Brunei,” katanya kepada XTRA.

Tambah finalis Anugerah Juara Lagu 31, dia memilih Brunei sebagai lokasi untuk membuka booth kerana tertarik dengan sokongan orang di sana.

“ Saya selesa berniaga di sana. Ramai orang tempatan di sana menyokong produk yang dijual oleh selebriti Malaysia. Namun begitu, saya tidak bermaksud peminat di sini tidak menyokong pula ya.

“ Saya bakal berada di sana selama 12 hari bermula 25 Mei sehingga 4 Jun di karnival Lebaran Raya 2019 di Tutong, Brunei.

“ Kepada penggemar kuih Tart dan Semperit, anda di sekitar Brunei kena datang ke booth saya nanti. Kemungkinan saya akan menyanyi sikit di booth,” akhirinya.

Dalam perkembangan lain, Aiman kini dalam proses mencari material lagu baharu selepas sambutan Aidilfitri nanti.

Wartawan: SGMS Fas

SGMS Faida