Pilihan Hati Sophia Albarakbah Seorang Doktor – “Dah Kahwin Nanti Saya Kenalkan…”

Pelakon Sophia Albarakbah memberitahu akan memperkenalkan teman lelakinya yang dikenali sebagai Mr Doktor selepas mereka berkahwin.

Menurut pelakon drama Suamiku Lelaki Pendosa itu, dia bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang perancangan perkahwinannya dan hanya memohon doakan yang terbaik.

“Dia bukan orang dari dalam industri, tapi seorang doktor. Bagi saya sendiri pun tak suka kongsikan terlalu banyak. Tapi, kalau dah kahwin nanti, saya akan perkenalkan kepada semua.

“Saya tak mahu mengulas panjang lagi mengenai perkahwinan buat masa sekarang. Yang pasti, doakan yang terbaik,” katanya.

Pada masa sama, Sophia bersyukur kekasihnya memahami kerjayanya sebagai pelakon selama mengenali jejaka tersebut.

“Kami dah lama kenal dan dia memahami kerjaya saya. Dia adalah antara orang yang sentiasa menyokong serta memberi semangat buat saya. Saya bersyukur sangat,” ujarnya.

Disoal kehidupannya akan lebih mudah jika kewujudan kekasihnya diketahui umum, Sophia tetap dengan pendirian untuk sentiasa bersiap sedia berdepan sebarang kemungkinan.

“Sebagai orang dalam industri seni, kita tak boleh lari daripada benda-benda ini. Kita buat apa pun, akan sentiasa menjadi isu.

“Bagi saya, saya dah bersiap sedia, mana tahu kalau muncul pula perkara lain di masa akan datang. Yang pasti, saya berlakon sebab saya bahagia dengan kerjaya ini, dan bukan untuk mengejar publisiti.

“Tapi, publisiti itu datang dengan kerja. Mahu atau tidak, saya kena bersedia dan terima kerana tak boleh lari,” jelasnya.

Sophia ditemui semasa sidang media Tonton Anugerah Drama Sangat (TADS) yang berlangsung di Putrajaya International Convention Centre (PICC), semalam.

Maya Basir