Polis Thailand Yakin Kesan Individu Sebar Gambar & Video Tangmo Dalam Tempoh 7 Hari

Setelah pelbagai spekulasi timbul mengenai kematian aktres popular Thailand, mendiang Pattaratida “Tangmo” Patcharaveerapong atau Tangmo Nida, pihak polis negara tersebut kini dalam proses mengenal pasti individu yang bertanggungjawab menyebarkan gambar dan video beliau baru-baru ini.

Ia susulan beberapa klip video pendek dan juga laman sosial milik mendiang kembali aktif beberapa hari lalu.

Malah, ia juga berkait rapat dengan kenyataan yang dibuat oleh sahabat baik mendiang Tangmo iaitu Mo Amena yang memaklumkan beliau tahu siapakah suspek disebalik penularan video dan gambar tersebut.

Menurut Biro Siasatan Jenayah Siber, Pol Lt Gen Kornchai Khlaikhlueng berkata, organisasinya sudah meminta pengendali telefon mudah alih untuk mengenal pasti individu yang mengeluarkan gambar dan video melalui akaun media sosial Tangmo dan dijangka mendapat jawapannya dalam masa tujuh hari.

Katanya, individu itu mungkin mempunyai akses kepada akaun iCloud mendiang kerana semua gambar dan video yang disiarkan dikesan digunakan daripada akaun aktres itu dan polis telah memeriksanya sebelum ini.

Pada 24 Februari lalu, Tangmo dilaporkan lemas selepas terjatuh dari bot laju yang dinaikinya bersama lima orang lain di Sungai Chao Phraya di wilayah Nonthaburi.

Bagaimanapun, polis telah menamatkan siasatan mereka dan mendakwa rakannya yang memandu bot laju secara melulu itu menyebabkan kematian aktres berkenaan tetapi beberapa aktivis mendakwa Tangmo telah dibunuh.

 

Sumber: Bernama

Salma Syahbuddin