Raih 90 Undi, Diva AA Tak Lupa Janji!

Walaupun hanya memperoleh 90 undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), selebriti kontroversi, Azwan Ali atau lebih dikenali sebagai Diva AA yang bertanding kerusi DUN Bukit Antarabangsa tetap menunaikan janjinya!

Azwan ketika dihubungi Harian Metro memberitahu, beliau sudah melakukan yang terbaik dan menghormati apa sahaja keputusan yang dibuat oleh rakyat.

“Siapa pun yang memimpin negara, ‘biaq pi’… yang penting kita semua sudah melalui peristiwa warna-warni sepanjang PRU-14.

“Dan paling penting, Diva AA tetap akan menunaikan janji untuk membelanjakan rendang kepada pengundi kawasan itu,” katanya.

Pertembungan lima penjuru bagi DUN berkenaan menyaksikan abangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga penyandang kerusi itu berjaya mengekalkan kemenangan dengan majoriti 25,512 undi.

Selebriti kontroversi itu berkata, beliau percaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai kuasa mengira undi.

“Jadi tak perlulah pertikaikan ketelusan mereka menjalankan tugas, cara pengiraan atau terdapat penipuan.

“Ingat pada Allah selalu, insya-Allah kita akan berjaya di dunia dan akhirat,” katanya.

SGMS Faida