Rebecca Nur Al Islam Berkemungkinan Terpaksa Gugurkan Kandungan Anak Keenam

Berita kehamilan keenam pelakon Datin Rebecca Nur Al Islam dikatakan berisiko tinggi kerana kesemua cahaya mata yang dilahirkan adalah menerusi pembedahan.

Memetik laporan mStar, Rebecca memberitahu berkemungkinan dia tidak dapat meneruskan kehamilan itu bagi mengurangkan risiko semasa bersalin.

“Sebenarnya di sebalik berita gembira ini, saya dan suami perlu menerima hakikat bahawa kandungan kali ini sangat berisiko untuk saya.

“Esok (hari ini) kami akan berjumpa dengan pakar sakit puan untuk mengetahui sama ada kandungan ini boleh diteruskan atau pun tidak,” katanya.

Menurut Rebecca, risiko tersebut akan menyebabkan kemudaratan terhadap diri termasuk risiko kematian ketika bersalin.

“Sekiranya saya pilih untuk meneruskan kehamilan ini, bayi akan selamat tetapi saya tidak.

“Apa-apa pun, semuanya bergantung kepada pemeriksaan dan keputusan yang akan diberitahu doktor nanti,” ujarnya.

Tambahnya, dia mengakui sangat teruja apabila disahkan hamil walaupun tidak menyangka bakal menimang cahaya mata lagi.

Selain itu, Rebecca tidak kisah mempunyai anak yang ramai kerana dia memang sukakan kanak-kanak.

“Saya pada awalnya terkejut juga kerana tak merancang untuk hamil. Tetapi ini semua rezeki yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

“Saya tak kisah mempunyai ramai anak kerana rumah saya sekarang pun dah macam sebuah tadika,” katanya.

Sementara itu, pelakon ini memohon agar peminat mendoakan agar kandungannya berada dalam keadaan baik dan tiada sebarang masalah.

Untuk rekod, Rebecca mendirikan rumah tangga bersama Datuk Nur Azman Sulaiman, 54, pada 14 Januari 2011 dan dikurniakan lima cahaya mata iaitu Nor Anggun Raverra, 10, Nor Anggerik Renesmee, 9, Nor Aliff Al-Raffael, 6, Nor Ahmed Al-Raeggan, 3, dan Nor Aurora Riana, 3.

Sumber: mStar

Maya Basir