Reen Rahim Pilih Lumba Kereta, Tangguh Perancangan Nak Anak – “Saya Sudahlah Kahwin Lambat…”

Pelakon Reen Rahim terpaksa menangguhkan perancangan untuk memiliki zuriat dalam masa terdekat demi menyertai program perlumbaan kereta.

Menerusi perkongsiannya di Instagram, Reen atau nama sebenar Noreen Ashikin Abdul Rahim mengakui telah lama menyimpan hasrat untuk memasuki perlumbaan kereta acara Toyota Gazoo Racing.

“Sebenarnya ada kisah di sebalik Toyota Gazoo ini. Sama ada mahu anak atau lumba kereta.

“Dari dulu memang saya suka tengok kawan-kawan yang terpilih menyertai Toyota Gazoo.

“Nampak gempak sebab bukan senang untuk dapat berlumba di sini. Lumba betul-betul bukan main-main sampai terdetik dalam hati seronok kalau dapat sertai,” katanya.

Menurutnya, dia menerima tawaran tersebut tiga hari sebelum melangsungkan hari pernikahannya dan berada dalam dilema untuk membuat keputusan.

“Tiba-tiba tahun lepas, saya dapat tawaran Toyota Gazoo tiga hari sebelum bernikah.

“Saya sudahlah kahwin lambat, kalau sertai memang susah untuk ada anak walaupun pihak Toyota tidak keluarkan syarat.

“Tapi kalau fikir logik, memang tidaklah saya akan mengandung sebab kena berlumba sehingga bulan 10. Jadi, saya ketepikan keinginan dan terus tolak tawaran tersebut,” ujarnya.

Pada awalnya, dia telah menolak tawaran tersebut kerana memilih untuk membina keluarga namun dia diberi peluang untuk berfikir sebelum membuat keputusan muktamad.

“Saya berdoa dalam hati kerana runsing sama ada tawaran ini adalah ujian atau rezeki dan ikutkan sahaja aturan Allah.

“Selang dua atau tiga hari, pihak mereka menghubungi saya untuk mengesahkan sama ada saya benar-benar mahu tolak tawaran.

“Saya minta masa selama dua ke tiga hari untuk berfikir dan berbincang dengan suami,” katanya.

Selain meminta pandangan suami, Reen turut bertanyakan kepada ibunya berhubung penyertaan dalam acara terbabit.

“Suami pun runsing untuk membuat keputusan walaupun sering menyokong apa yang saya lakukan. Saya juga minta pandangan umi.

“Dia suka saya buat benda lasak, lebih-lebih lagi saya jenis pemalas dan memandu secara sangat perlahan sebab takut. Dia mahu saya melawan ketakutan tersebut,” jelasnya.

Namun, setelah membuat pertimbangan, Reen membuat keputusan untuk mengambil peluang sekali seumur hidup itu.

“Saya yakin ini rezeki yang Allah susun dan alhamdulillah tidak sangka dapat tawaran sebegini,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, Reen dan suami yang merupakan ahli perniagaan, Ahmad Nur Hazim Zainal Abidin telah mendirikan rumah tangga pada 24 Disember 2022.

Maya Basir