“Rezeki Tak Pernah Salah Alamat” – 2 Tahun Rehat, Amira Othman Bersyukur Kini Kembali Aktif

Selepas hampir dua tahun tak muncul dengan karya baharu, penyanyi Amira Othman bersyukur rezekinya datang mencurah-curah walaupun dalam keadaan pandemik.

Sebelum ini, Amira atau nama sebenarnya, Nadia Amira Othman, 28, berehat kerana mengalami kecederaan otot.

“Alhamdulillah, rezeki tak pernah salah alamat. Setelah hampir dua tahun tak muncul dengan mana-mana single dan sembuh sepenuhnya daripada kecederaan otot sebelum ini, kini saya lebih bersemangat untuk meneruskan kerjaya seni saya.

“Saya kembali aktif dengan single Surat Akhir yang dilancarkan pada Februari lalu. Baru hanya tiga bulan single Surat Akhir dilancarkan, saya menerima panggilan daripada sebuah produksi yang menyatakan keinginan mereka untuk menggunakan karya baharu saya berjudul Tragedi sebagai lagu tema sebuah drama bersiri,” katanya.

Menurut Amira, lagu Tragedi telah mula dihasilkan sejak tahun 2011 lagi. Namun pada ketika itu, beliau belum berkecimpung sebagai seorang penyanyi professional.

“Sebenarnya lagu ini telah dicipta sebelum saya menyertai industri hiburan lagi dan ketika itu saya berangan-angan untuk menjadi seorang penyanyi. Melodinya mendapat sentuhan istimewa komposer yang disegani iaitu Sharon Paul, manakala liriknya adalah nukilan saya sendiri.

“Rakaman asal lagu ini pada tahun 2011 terpaksa dirombak semula kerana tona vokal yang berbeza. Jadi, pihak pengurusan mencadangkan agar ia diolah semula pada bulan yang Mei lalu.

“Proses rakaman tidak mengambil masa yang lama kerana saya sudah menghafal lagu tersebut, lebih-lebih lagi ia adalah lagu pertama ciptaan saya sejak menceburi industry nyanyian dan ia mempunyai nilai sentimental yang tersendiri,” katanya.

Lagu Tragedi boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi kesemua syarikat telekomunikasi di seluruh negara serta boleh didengari di aplikasi penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer.

Padin