“Risau Adik Nak Bersalin, Tapi Dia Yang Pergi Dulu…” – Abang Uyaina Arshad Meninggal Dunia Di Hari Ulang Tahun Ibu Tersayang

Pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad berkongsi berita duka pada pagi ini mengenai abang sulungnya telah meninggal dunia.

Perkongsian tersebut dimuat naik di Instagram milik Uyaina meraih perhatian ramai yang turut meluahkan rasa sedih atas pemergian insan penting dalam hidup pengacara Wanita Hari Ini.

“Innalillahiwainnalillahirojiun.. Mohd Attaful Uzair bin Arshad, pulangnya abang sulungku ke negeri abadi. Bertemu Sang Pencipta,”katanya.

Menerusi hantaran sama, Uyaina turut mendedahkan mengenai keperibadian abang tercintanya yang menjadi tulang belakang keluarga mereka semenjak ayah meninggal.

“Orang baik selalu pergi dulu. Dia tersangat baik, terlalu baik. Anak yang baik, abang yang baik. Suami yang baik, ayah yang baik.

“Lepas arwah Baba meninggal, dia jadi ketua keluarga. Dari kecik lagi dia dah set contoh yang baik untuk kami adik-adik.

“Dia masuk asrama, kami semua masuk asrama. Dia berjaya dalam pelajaran, kami semua nak berjaya dalam pelajaran. Dia sentiasa dahulukan Ummi. Kami adik-beradik berebut nak berbakti untuk Ummi,” luahnya.

Katanya lagi, Uyaina difahamkan baru sahaja semalam meluangkan masa bersama abangnya itu, tidak menyangka itulah kali terakhir mereka dapat bergelak tawa, bersembang dan bersua muka.

“Dia baik, pemurah, penyayang. Baru je semalam kami berjumpa. Makan sama-sama, bersembang macam-macam. Gelak sama-sama. Macam-macam juga dia pesan. Dia rindukan adiknya nak bersalin.

“Rupa-rupanya dia yang pergi dulu. Rasa tak percaya dia dah tak ada. Terlalu awal dia pergi. Sama usia dengan arwah Baba sewaktu dia meninggal dunia…

“Rasa terlalu perit dan sakit nak diungkap dengan kata-kata. Kehilangan seorang insan yang terlalu baik. Kehilangan darah daging yang terlalu kami sayang,” ujarnya.

Ternyata, tarikh pemergian abang sulung Uyaina adalah sama dengan tarikh hari jadi bonda tercinta, Siti Noor Farah.

“Hari ini, 19 Ogos adalah hari jadi Ummi.. Lama dia plan nak sambut birthday Ummi.. Akhirnya, hari lahir Ummi diiringi dengen permegian anak sulungnya. Allahuakbar,” tulisnya.

Meninjau di ruangan komen, rata-rata rakan selebriti menzahirkan kata-kata doa serta pengikut Uyaina yang turut meluahkan rasa duka.

Aqilah Paharuzi