“Saya Berjanji Akan Jaga Diri” – Berjaya Turunkan Berat Badan Sebanyak 14kg, Shila Amzah Akui Bukan Proses Mudah

Baru-baru ini, penyanyi berkaliber Shila Amzah memuat naik sebuah hantaran mengenai kegembiraannya apabila dapat menurunkan berat badan sebelum memasuki tahun baru, 2023.

Menerusi hantaran tersebut, Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah, 32, berasa teruja dapat menghilangkan berat badan sebanyak 14 kilogram.

Malah, dia mengakui bahawa ia bukanlah sebuah perjalanan yang mudah untuk mendapatkan semula berat badan yang ideal.

“Saya bersyukur dapat meninggalkan 2022 dengan menghilangkan berat 14 kilogram.

“Saya telah berjanji pada diri sendiri untuk menjaga diri dan saya telah melakukannya pada tahun 2022.

“Saya berjaya melakukannya dalam menempuh segala kesakitan dan halangan.

“Alhamdulillah untuk setiap kemenangan dan setiap kemenangan kecil turut dikira,” tulis Shila.

Gara-gara pernah menjadi mangsa ‘body shaming’, Shila akui pernah terfikir untuk melakukan prosedur memasuki belon dalam perut, namun membatalkan hasratnya kerana risau akan memberi kesan kepada vokalnya.

Menjengah di ruangan komen, rata-rata pengikutnya dan juga rakan selebriti menitipkan kata-kata semangat untuk dirinya.

Atiqah Johari