“Saya Dah Rujuk al-Quran” – Dikecam Gara-Gara Bela Anjing K-9, Fezrul Khan Tak Ambil ‘Port’

Pelakon Fezrul Khan, 40, mengakui tidak akan ambil peduli tentang pendapat orang lain mengenai tindakannya memelihara enam ekor anjing jenis K-9.

Menurutnya, apa yang dilakukan adalah berpandukan ajaran al-Quran apatah lagi dia sentiasa merujuk kepada ulama sekiranya terdapat keraguan berkaitan hukum syarak.

“Banyak sangat pandangan, lagipun susah nak cakap pasal benda ni. Kalau saya, saya akan ikut al-Quran.

“Sebab dahulu pun Allah turunkan al-Quran sebagai panduan untuk kita umat-Nya,” katanya.

Menyifatkan orang ramai mudah menjatuhkan hukum terhadap sesuatu perkara yang dilakukan di luar kebiasaan, Fezrul bagaimanapun mengambil inisiatif untuk menjadikan al-Quran dan ustaz sebagai rujukannya.

“Itulah, ada orang yang dengar ceramah sahaja dan terus percaya, kita kenalah tahu dan faham apa yang telah diperintahkan dan ditulis dalam al-Quran

“Kalau saya senang sahaja, kalau saya sendiri tak faham saya akan terus eujuk kepada ustaz untuk bertanyakan dengan lebih lanjut mengenai sesuatu perkara,” jelasnya.

Fezrul ditanya mengenai isu ini ketika sidang media drama berjudul Aku Seorang Perempuan yang diadakan secara virtual pada Selasa.

 

Terdahulu, Fezrul terkilan apabila salah seekor anjing mati dibunuh oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

“Bukak al-Quran baca surah Al-Maidah baru sembang dengan saya. Kira membunuh anjing saya di kira dapat pahala berganda-ganda?

“Tak apa biar Allah je yang balas… kata Islam itu mudah kalau macam ni kira Islam itu menyusahkan la. Bangsa lain pun tengok agak menyusahkan,” katanya.

Salma Syahbuddin