Categories: HiburanTrending

“Saya Dah Terbitkan 7 Tahun Lalu!” – Kelly Azman Luah Rasa Kecewa, Dakwa Erry Putra Ciplak Lagu Nyanyian & Ciptaannya

Penyanyi dan pengacara Kelly Azman meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pelakon Erry Putra yang didakwa menciplak lagu nyanyian dan ciptaannya, No No No.

Menurut Kelly atau nama sebenarnya, Raja Azman Raja Ayob, dia mengetahui perkara ini apabila ada peminat memberitahu mengenai lagu yang dinyanyikan oleh Erry menerusi kiriman mesej.

“Sejujurnya, saya rasa terkejut. Saya tak sangka kerana melodi lagu nyanyian Erry saling tak tumpah dengan lagu No No No yang saya rakamkan pada 2017.

“Saya sendiri yang mencipta lagu itu, saya juga yang menyanyikannya. Tapi Erry pula muncul dengan lagu sama dan tajuknya pula ditukar kepada Oh No Sayang,” katanya.

Tambah Kelly, dia cuba untuk berhubung dengan Erry bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai isu ini namun usahanya gagal.

“Saya kecewa kerana saya kenal Erry. Dia rakan industri, sudah pasti kami saling mengenali dan tiada masalah sebelum ini. Saya cuba menghubungi Erry untuk bertanyakan mengenai perkara ini namun tiada respons.

“Semuanya boleh dibincangkan. Apa yang membuatkan saya sedih, dia mendakwa lagu itu merupakan single terbaharu miliknya, ia tak patut berlaku. Saya sudah lama rakamkan lagu No No No dan menerbitkan ia tujuh tahun lalu, sejak bila pula ia menjadi single baharu Erry?” katanya lagi.

Kelly berkata demikian ketika ditemui semasa majlis preview Ramadan Hotel Royal Kuala Lumpur yang berlangsung pada petang semalam.

Merupakan tahun ke-13 Kelly menyanyi di Hotel Royal Kuala Lumpur sepanjang Ramadan, artis serba boleh ini bersyukur dikurniakan rezeki tidak putus-putus.

“Saya sendiri tak sangka dah masuk 13 tahun saya menyanyi di Hotel Royal Kuala Lumpur sepanjang Ramadan menghiburkan mereka yang berbuka puasa. Saya anggap ia rezeki.

“Tahun ini, saya sekali lagi bergandingan dengan Ani Maiyuni untuk menyanyi di sini. Saya juga gembira kerana ramai yang memuji juadah buka puasa Hotel Royal Kuala Lumpur enak-enak belaka sejak ia diperkenalkan dan rasanya juga konsisten,” katanya lagi.

Padin